VALPARAISO: Dadah terlarang bernilai lebih AS$10 juta telah dirampas oleh polis di Chile, selepas ia ditemui disembunyikan di dalam barangan elektrik yang diimport.
Kejayaan menggagalkan sindiket penyeludupan dadah itu adalah sebahagian daripada operasi selama dua bulan di bandar pelabuhan Vaparaiso, Chile.
Menurut pihak berkuasa, pasukan keselamatan Chile telah merampas 184 kilogram pil ekstasi yang disembunyikan di dalam tujuh peralatan elektrik berkenaan.
Dadah itu dilaporkan dibawa dari Belanda.
Nilai jualan bagi bahan terlarang itu dianggarkan kira-kira AS$11 juta.
Susulan pembongkaran kegiatan itu, lapan kediaman telah diserbu bagi memburu ahli sindiket dadah.
Lima warga Colombia telah ditahan selain polis turut merampas dadah lain, pistol serta kenderaan yang digunakan sindiket dadah. – REUTERS