comscore
Tumpuan :
Dunia

Pheu Thai pilih Paetongtarn Shinawatra calon PM

Foto: Reuters

BANGKOK: Parti Pheu Thai mengumumkan pemimpinnya, Paetongtarn Shinawatra, sebagai calon Perdana Menteri, menjelang pengundian Parlimen, bagi memilih Perdana Menteri baharu Thailand.

Pengumuman itu dibuat, sehari selepas Mahkamah Perlembagaan Thailand memecat Srettha Thavisin daripada jawatan Perdana Menteri, berkait kes pelanggaran etika.

Paetongtarn, 37 tahun, anak perempuan kepada jutawan yang juga bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.

Terdahulu, parti terbesar dalam kerajaan sementara Thailand itu bermesyuarat untuk memilih calon pengganti Srettha.

Ahli Parlimen Thailand akan mengundi untuk menentukan sama ada Parlimen meluluskan Paetongtarn menjadi Perdana Menteri baharu hari ini (Jumaat).

Srettha – juga dari parti Pheu Thai – dipecat Mahkamah Perlembagaan ketika belum sampai setahun menyandang jawatan itu, atas kesalahan ‘melanggar piawaian etika secara teruk’ apabila melantik bekas peguam Thaksin, Pichit Chuenban yang pernah dipenjarakan kerana menghina mahkamah pada 2008, ke jawatan Kabinet.

Susulan itu, Pheu Thai segera berusaha mendapatkan sokongan daripada pakatan pemerintah diterajuinya yang meliputi 11 parti, untuk membentuk kerajaan seterusnya.

Jika berjaya dipilih dalam pengundian, Paetongtarn akan menjadi Perdana Menteri wanita yang kedua di Thailand serta ahli ‘keluarga Shinawatra’ yang ketiga menyandang jawatan tertinggi itu.

Pakatan 11 parti itu menguasai 314 kerusi di Parlimen, termasuk 141 kerusi bawah Pheu Thai, justeru dilihat tidak akan berdepan kesukaran untuk memilih Perdana Menteri baharu dalam pengundian sekiranya mereka terus bersatu.

Untuk dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand, seseorang calon memerlukan sokongan lebih separuh daripada 493 Ahli Parlimen sedia ada.

Politik Thailand berdepan kemelut ketidakstabilan politik sejak dua dekad lalu membabitkan krisis rampasan kuasa, tunjuk perasaan di jalanan dan kes mahkamah.

Sementara itu, Paetongtarn menegaskan, bersedia untuk berkhidmat membawa Thailand maju ke hadapan, dan berjanji untuk mencurahkan bakti sebaik mungkin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini