BEIRUT: Petugas kesihatan di selatan Lubnan bertungkus-lumus merawat ratusan mangsa yang cedera pada Isnin lalu, ketika kebanyakan keluarga melarikan diri daripada serangan Israel.
Seorang pekerja Hospital Tebnin di selatan Lubnan yang enggan dikenali menyatakan kebimbangan dalam soal keselamatan.
“Orang yang cedera dibawa masuk tanpa henti. Saya tidak tahu berapa ramai yang cedera kerana mereka yang cedera berbaris di jalan di luar hospital,” katanya.
Israel berkata, serangan udaranya di selatan dan timur Lubnan menyasarkan ratusan tapak Hizbullah, dan ia memberi amaran mengenai lebih banyak serangan lagi yang akan datang.
Di sebuah hospital berhampiran bandar selatan Nabatiyeh, kurang 15 kilometer dari sempadan Israel, Doktor Jamal Badran menggambarkan bencana dan pembunuhan beramai-ramai bakal berlaku.
“Mereka menyerang berhampiran rumah saya. Saya baru pulang dari hospital, di mana terdapat ramai yang maut dan cedera.
“Mereka mengebom kami semasa kami memulihkan orang yang cedera dari tapak serangan,” katanya.
Di bandar selatan Sidon, seorang wartawan AFP melihat kesesakan lalu lintas di lebuh raya utama ke Beirut, ketika keluarga melarikan diri dari kawasan serangan dengan kereta dan van.
Hizbullah dan kumpulan lain yang disokong Iran semakin terbabit ke dalam perang, dengan Israel pada awal bulan ini berkata, tumpuannya beralih ke utara ke arah Lubnan.
Serangan pada Isnin itu berlaku selepas peranti komunikasi Hizbullah meletup minggu lalu, dalam serangan yang dipersalahkan ke atas Israel, dan selepas serangan di selatan Beirut membunuh seorang komandan tertinggi Hizbullah dan berpuluh-puluh lagi orang.
Wartawan Lubnan, Nazir Reda cuba sampai ke kampung halamannya di Babliyeh, kira-kira 25 km dari sempadan, untuk membawa keluarganya, termasuk bayi lelakinya, jauh dari kawasan keganasan.
“Tiada siapa yang menjangkakan peningkatan mendadak seperti itu akan sampai ke kampung yang selamat, seperti Babliyeh, dan yang tidak pernah dibom dalam perang sebelum ini,” katanya.
Nazir juga sudah meninggalkan anak-anaknya di kampung kerana sekolah mereka sepatutnya dibuka semula dalam masa beberapa hari, namun dia merasakan mereka akan lebih selamat di pinggir bandar selatan Beirut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.