WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat (AS) meluluskan pelantikan bekas hos Fox News dan veteran tentera, Pete Hegseth, sebagai Setiausaha Pertahanan, memberikan kemenangan politik utama kepada Presiden Donald Trump.
Naib Presiden A.S. JD Vance memberikan undi penentu selepas tiga senator Republikan menentang pelantikan Hegseth.
Hegseth, yang pernah bertugas di Iraq, Afghanistan dan Teluk Guantanamo, antara calon Kabinet Trump yang paling kontroversi.
Kelulusan pelantikannya sebelum ini diragui susulan dakwaan berkaitan kehidupan peribadinya, termasuk tuduhan penyalahgunaan alkohol dan keganasan rumah tangga.
Beliau juga pernah dituduh melakukan serangan seksual oleh seorang wanita pada 2017.
Hegseth bagaimanapun menafikan semua tuduhan berkenaan dan menyifatkan ia sebagai “kempen fitnah yang diselaraskan”.
Selain gagal dalam percubaannya untuk merebut kerusi Senat AS di Minnesota pada 2012, Hegseth tidak mempunyai pengalaman politik mahupun memimpin organisasi sebesar Jabatan Pertahanan A.S., yang mempunyai lebih tiga juta kakitangan serta terkenal dengan kerumitan birokratiknya.
Hegseth lebih dikenali di A.S. menerusi saluran pro-Trump, Fox News, dengan beliau menjadi hos bersama rancangan pagi hujung minggu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.