PARIS: Sebuah pesawat ringan yang membawa tiga pelancong terhempas di Loire-Atlantique, barat Perancis pada Selasa, Xinhua memetik laporan media tempatan.
Menurut France Bleu, pesawat berkenaan dilaporkan hilang sekitar tengah hari Selasa antara Nantes dan La Baule.
Anggota bomba berjaya menemui serpihan pesawat sedalam tiga hingga empat meter di dalam laut.
Bagaimanapun, operasi menyelamat dihentikan petang Selasa kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, menurut pihak berkuasa tempatan.
Setakat ini, tiada pengumuman rasmi mengenai penemuan mangsa.
Biro Siasatan dan Analisis untuk Keselamatan Penerbangan Awam (BEA) di Perancis mengumumkan untuk membuka siasatan terhadap kemalangan itu. – BERNAMA-XINHUA