PENNSYLVANIA: Sebuah pesawat perubatan yang membawa 6 penumpang dan anak kapal, termasuk seorang kanak-kanak terhempas di Philadelphia, Amerika Syarikat.
Pengendali syarikat ambulans udara, Jet Rescue Air Ambulance berkata pesawatnya membawa empat anak kapal, seorang pesakit pediatrik dan seorang pengiring pesakit ketika nahas berlaku.
“Pada masa ini, kami tidak dapat mengesahkan sebarang mangsa yang terselamat,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengesahkan enam orang berada di dalam pesawat Learjet 55 yang terhempas kira-kira jam 6:30 petang waktu tempatan.
Nahas berlaku berhampiran Roosevelt Mall di timur laut Philadelphia dan terdapat beberapa individu cedera.
Rakaman video yang disiarkan oleh stesen TV tempatan menunjukkan pesawat menjunam sebelum terhempas di kawasan berpenduduk padat menyebabkan letupan besar.
Menurut Philadelphia Inquirer, sekurang-kurangnya sebuah rumah dan beberapa kenderaan terbakar akibat insiden berkenaan.
Ketika kejadian, cuaca dilaporkan sejuk, hujan, dan jarak penglihatan rendah.
Pesawat ambulans udara itu berlepas dari Lapangan Terbang Northeast Philadelphia menuju ke Lapangan Terbang Springfield-Branson di Missouri, menurut kenyataan FAA.
Nahas berlaku hanya beberapa hari selepas tragedi pertembungan antara pesawat American Airlines dan helikopter Black Hawk milik tentera darat di Washington, D.C., yang mengorbankan 67 orang, menjadikannya nahas udara paling dahsyat di negara itu sejak 2009.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.