WASHINGTON: Sebuah pesawat komersial serantau milik American Airlines dan sebuah helikopter Black Hawk tentera Amerika Syarikat (AS) terhempas ke dalam Sungai Potomac selepas berlanggar di udara berhampiran Lapangan Terbang Nasional Reagan pada malam Rabu, lapor pihak berkuasa.
American Airlines dalam kenyataan mengesahkan bahawa 64 orang berada di dalam pesawat itu termasuk 60 penumpang dan empat anak kapal. Tiga anggota tentera berada di dalam helikopter tersebut, menurut seorang pegawai AS.
Sebuah pesawat komersial serantau milik American Airlines dan sebuah helikopter Black Hawk tentera Amerika Syarikat (AS) terhempas ke dalam Sungai Potomac selepas berlanggar di udara berhampiran Lapangan Terbang Nasional Reagan pada malam Rabu, lapor pihak berkuasa. Sumber media… pic.twitter.com/saoKFZLJx1
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 30, 2025
Reuters melaporkan 18 mayat telah ditemukan setakat ini, dan disyaki tiada kru serta penumpang yang terselamat.
Sementara itu, sebilangan keluarga dan saudara mara penumpang berkumpul di Lapangan Terbang Nasional Reagan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Tentera AS dalam kenyataan mengesahkan bahawa pesawat yang terlibat dalam kejadian itu adalah helikopter Army UH-60 dari Fort Belvoir, Virginia.
Insiden itu merupakan kemalangan pesawat penumpang pertama yang melibatkan kematian di AS sejak Februari 2009.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) berkata, pesawat serantau PSA Airlines CRJ700 berlanggar dengan helikopter tersebut ketika dalam perjalanan menuju Reagan.
PSA mengendalikan Penerbangan 5342 untuk American Airlines, yang berlepas dari Wichita, Kansas, menurut FAA.
Puluhan unit polis, ambulans dan penyelamat, termasuk beberapa bot penyelamat, dikerahkan di sepanjang sungai dan bergegas ke kedudukan di sepanjang trek lapangan terbang Reagan.
Presiden AS, Donald Trump, dalam kenyataannya berkata beliau telah dimaklumkan sepenuhnya mengenai kemalangan dahsyat yang baru berlaku.
“Semoga Tuhan merahmati jiwa mereka. Terima kasih atas kerja luar biasa yang dilakukan oleh pasukan penyelamat kita. Saya sedang memantau situasi ini dan akan memberikan lebih banyak maklumat apabila tersedia,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.