
NEWARK: Sebuah pesawat penghantaran FedEx yang dalam perjalanan dari Newark ke Indianapolis bertembung dengan burung ketika berlepas pada pagi semalam, menyebabkan satu daripada enjinnya terbakar.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dalam satu kenyataan berkata, pesawat FedEx Penerbangan 3609 mengalami kerosakan pada enjin selepas bertembung dengan burung ketika berlepas.
Video yang tular di platform X menunjukkan pesawat berkenaan terbakar ketika berada di udara.
Pihak Berkuasa Pelabuhan New York dan New Jersey berkata, pesawat berkenaan melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty kira-kira jam 8.07 pagi (waktu tempatan), bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan.
Dilaporkan, terdapat tiga individu di dalam penerbangan terbabit.
“Krew B767 kami mengisytiharkan kecemasan dan berjaya kembali dengan selamat ke Newark selepas berdepan dengan kerosakan enjin akibat perlanggaran itu, termasuk kebakaran enjin,” kata FedEx dalam satu kenyataan yang dikongsi bersama NBC News.
Mereka turut berterima kasih atas tindakan pantas krew dan pasukan penyelamat.
Rakaman LiveATC menunjukkan perbualan antara krew penerbangan dan kawalan trafik udara selepas insiden itu.
“Menara, enjin kanan FedEx 3609 sudah dimatikan akibat kemungkinan terkena burung, kami perlu berpatah balik ke lapangan terbang.” kata seorang individu dalam rakaman terbabit.
Tidak lama kemudian, seorang lagi individu dilaporkan berkata bahawa mereka melihat enjin jatuh dari sayap kanan pesawat itu.
Pasukan kecemasan segera bertindak selepas pesawat berkenaan mendarat dengan selamat, seperti yang ditunjukkan dalam video yang tular.
Penduduk New York, Mike Bova, menyaksikan dan merakam kebakaran enjin pesawat kargo itu ketika sedang memandu berhampiran lapangan terbang Newark.
“Kami melihat pesawat itu naik dan kelihatan agak bergoyang, kemudian tiba-tiba sesuatu yang besar jatuh dari langit.
“Kami sebenarnya menyangka ia adalah pesawat penumpang. Kami hanya berharap mereka dapat mendarat dengan selamat dan tiada perkara buruk berlaku kepada mereka,” katanya.
Pakar penerbangan, John Cox, berkata pesawat seperti Boeing 767 disahkan mampu terbang menggunakan satu enjin sehingga kehabisan bahan api.
“Itu sama seperti sebarang kegagalan mekanikal enjin lain. Anda hanya beroperasi dengan satu enjin.
“Terdapat prosedur untuk situasi seperti itu dan juruterbang dilatih untuk mengendalikannya bagi memastikan pendaratan selamat,” katanya kepada NBC News.
Menurut FAA, pesawat berkenaan kini tidak dapat bergerak di salah satu landasan lapangan terbang.
FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara sedang menyiasat kejadian terbabit.-AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.