MOSCOW: Pesawat An-2 yang dilaporkan hilang di Kamchatka, Rusia berjaya dijumpai, manakala semua kru dan penumpang dilaporkan selamat, kata Sergey Lebedev, Menteri Kecemasan wilayah itu.
“Pesawat telah ditemukan. Mereka selamat. Saya belum boleh memberikan maklumat terperinci mengenai keadaan mereka, tetapi mereka akan segera dipindahkan,” kata Lebedev dalam satu video yang dimuat naik di media sosial VK.
Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Rusia (Rosaviatsiya) mengesahkan tiga individu di dalam pesawat itu selamat, termasuk dua juruterbang dan seorang penumpang, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Sekitar 5.00 waktu Moscow [8:00 GMT], helikopter pencarian dan penyelamat Rosaviatsiya — Mi-8 milik Kamchatka Aviation Enterprise bersama pasukan penyelamat Kamchatka menemukan pesawat An-2 di kawasan Gunung Tundrovaya.
“Ketiga-tiga mereka yang menaiki pesawat — dua juruterbang dan seorang penumpang — selamat. Mereka sedang dipindahkan dari lokasi,” menurut kenyataan itu.
Pesawat itu dilaporkan hilang pada 19 Disember lalu ketika dalam penerbangan dari kampung Milkovo ke penempatan Ossora.
Berdasarkan maklumat awal, pesawat itu sedang menjalankan penerbangan komersial untuk menghantar kargo dan membawa tiga individu.
Isyarat kecemasan dipercayai dihantar pada ketinggian 700 meter, 160 kilometer dari kampung Klyuchi di daerah Ust-Kamchatsky. – BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.