Tumpuan :
Dunia

Peru bersiap sedia jadi Tuan Rumah Minggu Pemimpin APEC ke-31

LIMA: Ibu kota Peru, Lima bersiap sedia dengan kawalan keselamatan yang ketat untuk menganjurkan Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) ketiga, acara penting yang menekankan peranannya sebagai pengerusi forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada tahun ini untuk meliberalisasikan lagi perdagangan dalam kalangan ekonomi serantau.

Sebuah negara yang terletak di barat Amerika Selatan, bersempadan dengan Ecuador dan Colombia di utara dan Brazil di timur, pernah menjadi tuan rumah untuk AELW sebelum ini pada 2016 dan 2008.

Bertemakan “Empower. Include. Grow.”, AELW ke-31 bermula dengan Mesyuarat Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) yang keempat pada 10 Nov, diikuti dengan penutupan Mesyuarat Pegawai Kanan dan Mesyuarat Peringkat Menteri.

Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif dijadualkan pada 14 hingga 15 Nov, Dialog Pemimpin Ekonomi APEC dengan ABAC dan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada 16 Nov, yang akan dipengerusikan oleh Presiden Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra.

Peru dijangka mengetuai pemimpin APEC dalam menerima pakai Pelan Induk Lima 2024 untuk Menggalakkan Peralihan kepada Ekonomi Formal dan Global dan Kenyataan Ichma mengenai Pandangan Baharu untuk memajukan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP), menggariskan komitmen rantau ini dalam menangani cabaran global dan memacu Visi Putrajaya APEC 2040.

Mesyuarat itu, yang menghimpunkan pemimpin dari 21 ekonomi anggota dari seluruh rantau Asia Pasifik, akan menjadi detik penting bagi Peru berikutan ia mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam diplomasi ekonomi global.

Presiden China Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, yang berada dalam bulan-bulan terakhir sebagai presiden sebelum menyerahkan Pejabat Oval kepada Donald Trump yang memenangi pilihan raya presiden AS, antara pemimpin utama yang dijangka hadir di AELW di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengetuai delegasi Malaysia, dijangka tiba di sini pada 12 Nov. Beliau akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam kalangan pemimpin ASEAN, ini akan menjadi mesyuarat APEC pertama untuk Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Presiden Vietnam Luong Chong.

Presiden Filipina Ferdinand Bongbong Marcos Jr dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat di Peru. Sebaliknya, beliau melantik pemangku Setiausaha Perdagangan dan Industri Maria Cristina Roque sebagai wakilnya ke sidang kemuncak itu.

Selain pemimpin ASEAN, ia akan menjadi mesyuarat APEC pertama untuk Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon, Presiden Mexico Claudia Sheinbaum dan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini