Tumpuan :
Dunia

Pertubuhan Buruh Antarabangsa gesa tamatkan buruh kanak-kanak

FOTO: Reuters

GENEVA: Sempena Hari Menentang Buruh Kanak-Kanak Sedunia, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menggesa tindakan untuk menamatkan penggunaan buruh kanak-kanak, lapor Xinhua.

ILO pada Isnin mengadakan panel peringkat tinggi bertemakan “Keadilan Sosial Untuk Semua, Tamatkan Buruh Kanak-Kanak,” acara sampingan pada sesi Persidangan Buruh Antarabangsa dengan perbincangan bertumpu kepada hubungan antara keadilan sosial dan penghapusan buruh kanak-kanak.

Ahli panel yang mewakili pekerja, majikan dan kerajaan menekankan pentingnya usaha memerangi buruh kanak-kanak dan membincangkan cara untuk meningkatkan keadilan sosial.

“Buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun, buruh kanak-kanak semakin meningkat. Sejumlah 60 juta kanak-kanak, hampir satu daripada 10 di seluruh dunia, terlibat dalam buruh kanak-kanak.

“Kita mesti meningkatkan perjuangan untuk menentang buruh kanak-kanak dengan menyokong keadilan sosial yang lebih besar. Jika kita melakukannya, penamatan penggunaan buruh kanak-kanak bukan sahaja mungkin, bahkan boleh dicapai,” kata Ketua Pengarah ILO Gilbert F. Houngbo dalam ucapan video.

Dunia telah mencapai kemajuan yang mantap dalam mengurangkan buruh kanak-kanak sejak 2000, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, konflik, krisis dan pandemik COVID-19 telah menjerumuskan lebih banyak keluarga ke dalam kemiskinan dan memaksa berjuta-juta lagi kanak-kanak menjadi buruh, menurut ILO dalam satu kenyataan yang disiarkan pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, pertumbuhan ekonomi tidak mencukupi dan tidak cukup inklusif untuk melegakan tekanan yang dialami oleh kebanyakan keluarga dan masyarakat.

Tindakan yang telah diambil untuk menangani buruh kanak-kanak meliputi penubuhan dan pelaksanaan rangka kerja undang-undang yang kukuh berdasarkan Piawaian Buruh Antarabangsa dan dialog sosial, penyediaan akses universal kepada pendidikan berkualiti dan perlindungan sosial, serta langkah-langkah langsung untuk mengurangkan kemiskinan, ketidaksamaan dan ketidakamanan ekonomi, dan menggalakkan kerja yang baik untuk pekerja dewasa, katanya.

ILO melancarkan Hari Sedunia Menentang Buruh Kanak-Kanak pertama pada tahun 2002 sebagai satu cara untuk memperjuangkan nasib kanak-kanak yang terlibat dalam buruh kanak-kanak. – BERNAMA-XINHUA

Loading...
Terkini