GAZA: Pertempuran sengit berlaku antara tentera rejim Zionis dengan Pejuang Palestin di daerah Gaza City selepas Israel melancarkan serangan darat terbaharunya di utara Gaza.
Lapor media Al Jazeera, sekurang-kurangnya 19 terbunuh dalam serangan di wilayah utara dan tengah Gaza.
10 maut dalam bedilan udara di daerah Sabra manakala 9 lagi maut termasuk seorang kanak-kanak perempuan di sebuah Kem Pelarian di Deir el-Balah.
Pihak tentera rejim turut mengarahkan puluhan ribu lagi penduduk berpindah dari timur Rafah ketika serangan ke atas wilayah selatan Gaza terus diperhebat.
Salah satu serangan di Rafah meragut sejumlah nyawa penduduk termasuk 9 kanak-kanak.
Usaha menyelamat mangsa berdepan kesukaran susulan serangan bertali arus tentera rejim.
Di Tebing Barat pula, sekurang-kurangnya dua penduduk Palestin ditahan tentera rejim di sebuah pos kawalan keselamatan di Jericho menjadikan lebih 8,600 penduduk Palestin kini dalam tahanan rejim itu.
Angka korban perang Israel – Palestin kini mencecah lebih 35,000 orang dengan hampir 79,000 orang lagi cedera sejak mula tercetus pada 7 Oktober lalu. – AL JAZEERA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.