comscore
Tumpuan :
Dunia

Perkhidmatan Rahsia AS dedah kegagalan sebelum insiden tembakan Trump

Calon Presiden AS, Donald Trump. – FOTO: Reuters

WASHINGTON: Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mendedahkan kelemahan dalam komunikasi dan kekurangan ketekunan yang ditemui hasil semakan terhadap cubaan membunuh calon presiden AS, Donald Trump semasa perhimpunan kempennya pada Julai, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Thomas Matthew Crooks berjaya berada pada kedudukan tinggi dengan membawa senjata dan melepaskan beberapa das tembakan semasa Trump berkempen berhampiran Butler, Pennsylvania pada 13 Julai.

Dalam kejadian itu, sebutir peluru mengenai telinga kanan bekas presiden AS terbabit.

Pemangku Pengarah Perkhidmatan Rahsia Ronald Rowe berkata, pada satu sidang akhbar bahawa semakan itu mengenal pasti kelemahan dalam perancangan awal dan pelaksanaannya oleh kakitangan Perkhidmatan Rahsia.

“Walaupun sesetengah anggota pasukan perisikan sangat tekun, sebahagian yang lain bersikap sambil lewa hingga membawa kepada pelanggaran protokol keselamatan,” kata Rowe.

Pengarah Perkhidmatan Rahsia AS, Kimberly Cheatle meletakkan jawatan susulan cubaan pembunuhan itu, yang turut menyebabkan seorang penonton maut dan dua lagi cedera parah. Crooks ditembak mati.

Rowe berkata, Perkhidmatan Rahsia meningkatkan model perlindungannya berikutan ancaman yang semakin meningkat dan dinamik pada masa kini.

“Apa yang jelas kepada saya ialah kita memerlukan anjakan paradigma dalam cara kita menjalankan operasi perlindungan,” kata Rowe.

Agensi itu sedang memohon pembiayaan, kakitangan dan peralatan tambahan untuk beralih “daripada keadaan bertindak balas kepada keadaan bersiap sedia.” – BERNAMA-dpa

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini