comscore
Tumpuan :
Dunia

Perjanjian bijirin untungkan Eropah, A.S. – Putin  

FOTO: Reuters

MOSCOW : Pelaksanaan perjanjian bijirin tidak memenuhi matlamat sebenar bagi tujuan kemanusiaan, sebaliknya hanya digunakan untuk memperkaya Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, lapor Sputnik memetik Presiden Rusia Vladimir Putin.

Kenyataan Putin itu diperoleh daripada artikel tulisannya bertajuk “Russia and Africa: Joining Efforts for Peace, Progress and a Successful Future”, yang diterbitkan oleh Kremlin pada Isnin.

Inisiatif Bijian Laut Hitam atau “perjanjian bijirin”, yang menyediakan koridor kemanusiaan untuk membenarkan eksport bijirin Ukraine sepanjang tahun lepas, tamat pada 18 Julai, susulan keengganan Rusia untuk melanjutkan penyertaannya.

Moscow telah berulang kali mengkritik bahawa peruntukan perjanjian yang berkaitan dengan Rusia, tidak dipenuhi.

FOTO: Reuters

“Ramai mungkin telah mendengar mengenai  ’perjanjian bijirin,’ yang tujuan awalnya untuk memastikan keterjaminan makanan dunia, mengurangkan ancaman kelaparan dan membantu negara-negara termiskin di Afrika, Asia dan Amerika Latin – yang mendorong Rusia melaksanakan kewajipannya untuk memudahkan pelaksanaannya.

“Perjanjian ini yang dinyatakan secara terbuka oleh Barat untuk manfaat Afrika, sebaliknya hanya digunakan oleh perniagaan besar AS dan Eropah yang mengeksport dan menjual semula bijirin dari Ukraine itu,” kata Putin.

Presiden Rusia itu menekankan bahawa dalam tempoh hampir setahun, sejumlah 32.8 juta tan (tan metrik) bekalan telah dieksport dari Ukraine di bawah perjanjian bijirin, dengan lebih 70 peratus daripada eksport itu diperoleh negara berpendapatan tinggi dan pertengahan, manakala negara seperti Ethiopia, Sudan, Somalia, Yaman dan Afghanistan, hanya menerima kurang tiga peratus bekalan.

“Dalam masa yang sama, tiada satu pun dalam peruntukan ’perjanjian’ itu berpihak kepada Rusia dari segi pengecualian sekatan eksport bijirin dan baja negara itu ke pasaran dunia,” tulis Putin.

Putin berkata halangan semakin meningkat ke atas usaha Rusia untuk membekalkan baja mineral secara percuma kepada negara-negara termiskin yang memerlukannya.

“Daripada 262,000 tan barangan yang disekat di pelabuhan-pelabuhan Eropah, hanya dua penghantaran dibuat – 20,000 tan ke Malawi dan 34,000 tan ke Kenya. Selebihnya masih dipegang secara tidak bertanggungjawab oleh Eropah.

“Eksport itu merupakan inisiatif kemanusiaan semata-mata. Tidak ada gunanya lagi untuk meneruskan ’perjanjian bijirin’ kerana ia gagal memenuhi matlamat asalnya untuk tujuan kemanusiaan,” katanya.  — BERNAMA-SPUTNIK

Loading...
Terkini