WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menandatangani perintah eksekutif, bertujuan untuk mengehadkan prosedur pertukaran jantina bagi individu di bawah umur 19 tahun, iaitu langkah terbaharunya yang menyasarkan golongan transgender sejak kembali memegang jawatan.
Perintah ini dibuat seminggu selepas Trump menyatakan dalam ucapan pelantikan – pemerintahannya hanya akan mengiktiraf dua jantina, lelaki dan perempuan, yang menyentuh isu utama dalam peperangan budaya AS.
Menurut Trump, di seluruh Negara itu, profesional perubatan sedang mencedera dan mensteril sejumlah kanak-kanak yang mudah terpengaruh.
Trend berbahaya ini akan menjadi noda dalam sejarah negara Uncle Sam itu dan ia perlu dihentikan.
Perintah Trump menyatakan menjadi dasar AS kini, tidak akan membiayai, menaja, mempromosi, membantu, atau menyokong ‘pertukaran’ seorang kanak-kanak daripada satu jantina ke jantina lain.
Beliau menambah kerajaannya kini menguatkuasakan dengan tegas semua undang-undang yang mengharamkan atau mengehadkan prosedur yang merosakkan dan mengubah kehidupan ini.
Setakat ini, tiada undang-undang di seluruh AS mengharamkan rawatan perubatan yang mengesahkan jantina untuk remaja transgender Trump mengarahkan agar sokongan persekutuan terhadap prosedur berkenaan dihentikan.
Ini termasuk melarang pembiayaan peralihan jantina di bawah program insurans kesihatan Medicaid untuk keluarga miskin, skim Medicare untuk pesara, dan insurans kesihatan Jabatan Pertahanan yang meliputi kira-kira 2 juta kanak-kanak.
Trump berkata, beliau juga akan bekerjasama dengan Kongres untuk merangka undang-undang yang membolehkan kanak-kanak dan ibu bapa menyaman doktor yang menjalankan pembedahan jantina.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.