Tumpuan :
Dunia

Perhimpunan Agung PBB bermula di New York dengan penyertaan Presiden Palestin

Foto: Reuters

NEW YORK: Sesi ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermula di Ibu Pejabat PBB di New York pada Selasa, dengan penyertaan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Sesi yang bertajuk: “Tidak meninggalkan sesiapa pun: bertindak bersama untuk kemajuan keamanan, pembangunan mampan dan maruah manusia untuk generasi sekarang dan akan datang,” berlandaskan resolusi 58/126, menangani beberapa isu, terutamanya: keamanan dan keselamatan antarabangsa, pembangunan mampan dan teknologi.

Sesi ke-79 Perhimpunan Agung, yang dibuka pada Selasa akan diteruskan hingga Sabtu, 28 September dan berakhir pada Isnin, 30 September, dengan penyertaan ketua negara dan kerajaan negara anggota PBB.

Presiden Mahmoud Abbas dijadualkan menyampaikan ucapan Negara Palestin kepada Perhimpunan Agung pada Khamis, 26 September.

Sesi Perhimpunan Agung kali ini menyaksikan peristiwa bersejarah apabila Palestin memperoleh kerusi rasmi dalam kalangan Negara Anggota Perhimpunan Agung buat kali pertama semasa sesi perasmian, dalam pelaksanaan resolusi yang diluluskan pada Mei.- BERNAMA-WAFA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini