comscore
Tumpuan :
Dunia

Perdana Menteri Britain gagal isytihar sumbangan diterima isteri

FOTO: Reuters

LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer melanggar peraturan Parlimen kerana tidak mengisytiharkan bahawa seorang ahli perniagaan kaya serta penderma Parti Buruh membeli pakaian mewah untuk isterinya, Victoria.

Sunday Times melaporkan, Starmer, yang memegang jawatan sejak Julai lalu, berdepan siasatan selepas ‘gagal mengisytiharkan’ bahawa penderma utama Parti Buruh, Waheed Alli, menanggung kos seorang perunding peribadi dan pengubahsuaian pakaian untuk isterinya.

Kepentingan kewangan berdaftar Perdana Menteri, yang disenaraikan dalam laman sesawang Parlimen, menunjukkan bahawa beliau ada menerima sumbangan daripada Alli, termasuk beberapa pasang cermin mata, pakaian kerja dan penginapan.

Sumbangan yang dinyatakan itu ada diisytiharkan, namun pakaian yang diberikan kepada isterinya tidak dinyatakan.

Jurucakap untuk 10 Downing Street, dalam satu kenyataan kepada Reuters berkata Starmer dan pasukannya sudah mendapatkan nasihat pihak berkuasa ketika memulakan tugas dan percaya bahawa mereka mematuhi peraturan.

Alli adalah usahawan media Britain dan bekas pengerusi peruncit fesyen dalam talian ASOS.

Menurut etika Dewan Rakyat, ahli Parlimen perlu menyediakan maklumat mengenai kepentingan kewangan yang mungkin dianggap mempengaruhi karier mereka. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini