comscore
Tumpuan :
Dunia

Percikan bunga api sempena ulang tahun ke-10 BTS

Oleh: Mimi Azeera Abdullah

SEOUL: Dianggarkan 400,000 orang membanjiri lokasi di Seoul, Korea Selatan hari ini, apabila peminat BTS dari seluruh dunia meraikan sambutan ulang tahun ke-10 kumpulan K-pop ternama itu.

BTS atau Bangtan Sonyeondan diperkenalkan secara rasmi pada 13 Jun 2013, sebelum mencipta nama dan populariti bukan sahaja di Korea Selatan, tetapi serata dunia.

Meskipun mereka ketika ini berehat daripada aktiviti secara berkumpulan, ia tidak menghalang peminat atau lebih dikenali sebagai ARMY menghadiri pelbagai acara yang telah diatur sepanjang minggu ini.

‘BTS 10th Anniversary FESTA’ berlangsung di lokasi popular, Han River Park, dimana puluhan ribu ARMY bersatu menyaksikan pelbagai pameran, selain berinteraksi sesama mereka.

Pada jam 5 petang waktu tempatan, mereka dihiburkan pula dengan persembahan solo daripada ketua dan rapper BTS, RM.

RM atau nama sebenarnya, Kim Nam-joon turut meluangkan masa berinteraksi dengan peminat serta membaca surat dan komen secara live.

Kemuncak sambutan adalah persembahan bunga api besar-besaran di Sungai Han selama 30 minit, diiringi lagu-lagu hit BTS termasuk ‘Boy With Luv’, ‘Dynamite’ dan ‘Spring Day’.

ARMY turut teruja mendengar suara Jung Kook yang memperkenalkan persembahan tersebut, meskipun vokalis itu berada di Amerika Syarikat ketika ini, atas urusan kerja.

Menjadi penamat adalah iringan lagu terbaharu BTS, ‘Take Two’ yang dilancarkan sempena ulang tahun ke-10 ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Korea Selatan, Han Duck-soo mengarahkan pihak berkuasa terlibat untuk melaksanakan langkah-langkah keselamatan secara rapi, menjelang acara sambutan hari ini.

Selain kebimbangan mengenai risiko kemalangan membabitkan orang ramai, acara juga berakhir pada lewat malam.

FESTA turut disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial BTS.

Loading...
Terkini