comscore
Tumpuan :
Dunia

Perang di Gaza masuk bulan ke-12

Seorang warga Palestin berjalan melalui runtuhan rumah yang musnah akibat serangan Israel, di tengah konflik Israel-Hamas, di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza, 4 September 2024. – Foto: Reuters

GAZA: Selepas memasuki bulan ke-12 semalam, Perang Israel-Palestin di Gaza setakat ini tidak menunjukkan tanda akan reda atau berakhir, sekali gus memberikan harapan tipis buat penduduk Palestin serta tebusan Israel yang masih ditahan.

Kebarangkalian gencatan senjata yang turut membabitkan pertukaran tahanan Palestin di penjara Israel dengan tebusan ditahan Hamas adalah tipis, dengan kedua-dua pihak tetap berpegang kuat pada pendirian masing-masing.

Sejak perang meletus 7 Oktober tahun lalu, Hamas menuntut pengunduran penuh tentera rejim Israel, namun Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berdegil dengan menegaskan tenteranya mesti kekal di sepanjang sempadan Gaza-Mesir.

Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir berusaha menjadi pengantara untuk mencapai gencatan senjata dalam perang yang kini sudah membunuh sekurang-kurangnya 40,939 penduduk Palestin.

Menurut pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kebanyakan yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak.

Selain itu, terdapat 251 tebusan didakwa ditahan oleh kumpulan pejuang Palestin sejak perang meletus, dengan 97 orang masih berada di Gaza, termasuk 33 mangsa yang didakwa tentera Israel sudah mati.

Beberapa tebusan dibebaskan semasa gencatan senjata selama seminggu pada November tahun lalu.

Pengumuman Israel pada Ahad lalu berhubung penemuan mayat enam tebusan termasuk seorang warganegara AS-Israel, menimbulkan kesedihan dan kemarahan di Israel.

Ia mendorong ribuan penunjuk perasaan berarak pada Sabtu di Tel Aviv dan beberapa bandar Israel lain, termasuk Baitulmaqdis dan Haifa, bagi menuntut kerajaan memastikan pembebasan tebusan.

Selain itu, tekanan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan perang Israel-Palestin semakin meningkat susulan kematian aktivis Turkiye-AS, Aysenur Ezgi Eygi akibat ditembak pada Jumaat lalu di Tebing Barat.

Kejadian berlaku ketika aktivis berkenaan menyertai demonstrasi menentang penempatan Israel di wilayah Palestin yang diceroboh Israel.

Menurut pejabat hak asasi manusia PBB, tentera Israel membunuh Ezgi Eygi, 26, dengan tembakan di kepala.

Turkiye pula mendedahkan yang Aysenur dibunuh oleh tentera Israel, sementara AS menganggap kematiannya sebagai tragis, sambil mendesak Israel melancarkan siasatan.

Kematian Aysenur berlaku pada hari sama ketika tentera Israel mengundur diri dari pencerobohan berdarah selama 10 hari di Jenin dekat Tebing Barat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini