RIYADH: Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengumumkan beliau dan pemerintah de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, akan mempengerusikan bersama persidangan mengenai penubuhan negara Palestin pada Jun.
Menurut Macron, dalam tempoh beberapa bulan akan datang, inisiatif diplomatik ini akan dipergiat dengan membawa penglibatan semua pihak.
Ujar Macron, Perancis akan mengiktiraf negara Palestin pada masa yang sesuai apabila pengiktirafan diperoleh dari rakan kongsi lain.
Beliau juga optimis penglibatan beberapa rakan kongsi dan sekutu lain, dari Eropah dan bukan Eropah, yang bersedia untuk bergerak ke arah ini dengan menunggu maklum balas negara berkenaan.
Pengumuman pada Selasa dibuat ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) akan mengundi pada hari sama untuk mengadakan persidangan antarabangsa pada Jun bertujuan untuk memajukan penyelesaian dua negara sebagai sebahagian daripada kajian tahunannya terhadap masa depan Palestin.
Seruan untuk penyelesaian dua negara, berdasarkan negara Palestin yang ditubuhkan bersama Israel, semakin kerap dibangkitkan sejak meletusnya perang di Gaza.
Pada September, Sepanyol menjadi tuan rumah mesyuarat pegawai dan menteri Eropah dari negara Islam termasuk Arab Saudi, selepas Madrid, bersama Ireland dan Norway, secara rasmi mengiktiraf sebuah negara Palestin yang terdiri daripada Semenanjung Gaza dan Tebing Barat pada awal tahun.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.