LAGOS : Perampas kuasa di Niger dikatakan bersetuju untuk berunding dengan Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat (ECOWAS), menurut pengantara, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Perkara itu diumumkan oleh ketua delegasi ulama Islam, Syeikh Bala Lau dari Nigeria, pada Ahad selepas mengadakan pertemuan dengan pemerintah baharu Niger, Jeneral Abdourahmane Tchiani.
Delegasi Nigeria berlepas ke Niamey, ibu negara Niger, pada Sabtu di tengah-tengah ketegangan antara Niger dan blok ECOWAS yang kini diketuai oleh Nigeria.
Sheik Lau berkata mereka membincangkan pelbagai isu, termasuk tuntutan ECOWAS supaya Presiden Mohamed Bazoum yang digulingkan dalam rampasan kuasa 26 Julai dikembalikan jawatannya.
Tchiani telah memberi jaminan bahawa pintu rundingan masih terbuka untuk menyelesaikan konflik itu secara diplomatik dan aman.
Bagaimanapun, Tchiani mempertahankan motif di sebalik rampasan kuasa itu.
Pemerintah baharu Niger setakat ini enggan menerima delegasi rasmi ECOWAS.
Seorang delegasi terpaksa pulang setibanya di lapangan terbang, manakala seorang lagi dilarang memasuki negara itu.
ECOWAS telah mengenakan sekatan ke atas negara itu dan mengancam akan mengambil tindakan tegas jika perampas kuasa tidak mengembalikan jawatan Bazoum. — BERNAMA