Tumpuan :
Dunia

Penyokong Imran Khan batalkan protes

ISLAMABAD: Parti bekas perdana menteri Pakistan yang dipenjarakan, Imran Khan pada Rabu membatalkan protes di ibu negara Islamabad selepas tindakan keras oleh pasukan keselamatan, yang menyebabkan ratusan penyokong ditahan dan selebihnya terpaksa melarikan diri, lapor Agensi Berita Jerman, dpa.

Ribuan penyokong Khan yang diketuai oleh isterinya berkumpul di Islamabad pada Isnin dari wilayah kubu kuatnya Khyber-Pakhtunkhwa di barat laut, berikrar untuk memaksa kerajaan membebaskannya.

Penunjuk perasaan bertindak ganas dan membunuh sekurang-kurangnya enam anggota pasukan keselamatan ketika mereka menuju untuk berkhemah di luar Parlimen negara itu.

Ribuan polis dan pasukan separa tentera yang lengkap dengan peralatan rusuhan memulakan operasi sejurus sebelum tengah malam untuk menyuraikan protes.

Penyokong dan pemimpin protes Khan melarikan diri dari ibu negara selepas bertahan daripada tembakan gas pemedih mata dan peluru getah selama kira-kira dua jam, kata parti itu.

Parti itu mendakwa enam penunjuk perasaan terbunuh, namun hospital di bandar berkenaan memaklumkan mereka menerima dua mayat orang awam dan beberapa dozen orang cedera akibat terkena tembakan.

Menteri Penerangan Attaullah Tarar berkata kerajaan terpaksa mengarahkan tindakan keras itu selepas parti Khan mencabar negara, sambil menambah bahawa mereka mempunyai rancangan untuk menyerbu Parlimen.

Sekolah-sekolah kekal ditutup di Islamabad untuk hari ketiga pada Rabu manakala lalu lintas di jalan raya lengang apabila jalan raya dibuka semula selepas kawalan keselamatan yang bermula sejak Sabtu.

Khan yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2018 hingga 2022, telah dipenjarakan selama lebih setahun selepas disabitkan dengan beberapa pertuduhan rasuah dan sedang menghadapi perbicaraan bagi banyak tuduhan lain.

— BERNAMA-dpa

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini