Tumpuan :
Dunia

Penyelidik AS jatuh sakit, diselamatkan dari gua Turkiye

Foto: Reuters

ISTANBUL: Anggota penyelamat berjaya mengeluarkan seorang penyelidik Amerika Syarikat dari gua ketiga terpanjang di Turkiye pada Selasa selepas terperangkap selama lebih seminggu, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik kenyataan Persekutuan Speleologi Turki (SFT).

Mark Dickey menyertai pasukan penyelidik antarabangsa meneroka gua Morca di selatan Turkiye apabila pada kedalaman 1,250 meter, dia mengalami pendarahan di perut pada 2 September.

SFT berkata Dickey telah dikeluarkan dari gua pada 2137 GMT pada Selasa.

“Oleh itu, operasi menyelamat telah berakhir dengan jayanya. Kami mengucapkan tahniah kepada semua yang telah berbakti,” katanya.

Persatuan Penyelamat Gua Eropah (ECRA) memaklumkan lelaki itu telah dikeluarkan dari gua dan akan dipindahkan ke hospital selepas penilaian perubatan.

“ECRA mengucapkan jutaan terima kasih kepada anggota penyelamat dari tujuh negara berbeza yang menyumbang kepada kejayaan operasi menyelamat ini.”

Badan penyelamat Alpine Itali CNSAS, yang terlibat dalam operasi itu berkata Dickey “membantu memudahkan operasi pemulihan”.

Sehingga petang Ahad, lebih 80 penyelamat dari pelbagai negara menyertai usaha menyelamat di dalam gua itu. – BERNAMA-dpa

Loading...
Terkini