KHARTOUM: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Sudan melanjutkan penutupan ruang udara negara itu sehingga 30 April, menurut kenyataan Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum.
Notis itu dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam kepada kumpulan juruterbang.
Susulan itu, Angkatan Tentera Sudan akan mengambil tindakan jika ada pihak yang melanggar arahan itu.
Sudan dilanda konflik selepas pertempuran ganas tercetus antara Angkatan Tentera Sudan dengan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pada 15 April lalu.
Tentera kerajaan menuduh RSF sebagai pemberontak dan melancarkan serangan udara terhadap pangkalan mereka.
Ketua tentera Sudan Abdel Fattah Burhan mengeluarkan dekri membubarkan RSF.
Khamis lalu, Kementerian Kesihatan Sudan memaklumkan jumlah korban akibat konflik itu sudah mencecah seramai 600 orang.
Namun laporan rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang dikeluarkan pada Jumaat, menyatakan 413 penduduk Sudan maut manakala 3,551 yang lain cedera.