comscore
Tumpuan :
Dunia

Penunjuk perasaan di Sweden kecam barat bekal senjata kepada Israel

FOTO: Reuters

ISTANBUL: Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di Stockholm pada Sabtu untuk membantah tindakan Israel di Semenanjung Gaza dan Lubnan, serta mengecam kerajaan Barat kerana membekalkan senjata kepada Israel walaupun terdapat korban dalam kalangan orang awam.

Menurut Agensi Anadolu, perhimpunan yang diadakan di kawasan Odenplan itu dianjurkan oleh beberapa kumpulan masyarakat sivil dan dihadiri oleh 2,000 peserta.

Penunjuk perasaan menyatakan solidariti dengan Palestin dan Lubnan selain mengkritik negara Barat kerana bersubahat dalam tindakan Israel.

Karl Kjellin, seorang aktivis Sweden menuduh Israel melakukan genosid di Gaza dan mengecam pemimpin Barat kerana meneruskan bekalan senjata.

Berhujah bahawa kedua-dua parti politik utama di Amerika Syarikat (AS) menyokong Israel, Kjellin memberitahu Anadolu bahawa tiada apa yang akan berubah selepas pilihan raya AS.

Beliau berkata tindakan Israel di rantau itu akan diteruskan memandangkan AS memastikan kesinambungan penghantaran senjata ke Israel.

Penunjuk perasaan turut berhimpun di luar Kedutaan Jerman di Dublin untuk menyatakan sokongan kepada Palestin dan mengutuk peningkatan tekanan terhadap kumpulan pro-Palestin di Jerman.

Mereka mengkritik sokongan Jerman terhadap dasar Israel, dengan mendakwa ia melanggar hak asasi dan menyekat kebebasan bersuara.

Setiausaha Jews for Palestine Ireland Jacob Woolf menggesa kerajaan Ireland supaya mendesak Jerman untuk memastikan protes secara aman kekal sebagai hak yang dilindungi.

Protes lain juga diadakan di Istanbul pada Sabtu bagi “memecahkan kesunyian terhadap pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza.”

Penunjuk perasaan berarak sambil membawa bendera Turkiye dan Palestin selain melaungkan slogan menentang Israel dan AS sambil menggunakan gendang, loceng dan wisel untuk menarik perhatian.

Israel meneruskan serangan kejam ke atas Gaza sejak 7 Okt 2023. Serangan itu telah meragut hampir 43,800 nyawa dan menjadikan wilayah itu hampir tidak boleh didiami. – BERNAMA-ANADOLU

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini