Tumpuan :
Dunia

Penumpang, kru dengar letupan kuat sebelum pesawat Azerbaijan Airlines terhempas

Pesawat Azerbaijan Airlines terhempas berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan membunuh sekurang-kurangnya 38 orang, manakala 29 lagi terselamat. – FOTO REUTERS

BAKU: Dua penumpang dan seorang kru yang terselamat dalam pesawat Azerbaijan Airlines yang terhempas di Kazakhstan mendakwa mendengar sekurang-kurangnya satu letupan kuat sewaktu pesawat menghampiri destinasi asalnya di Grozny, selatan Russia.

Penerbangan J2-8243 terhempas kelmarin berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan selepas mengubah haluan dari kawasan di selatan Russia di mana Moscow berulang kali menggunakan sistem pertahanan udara untuk menangkis serangan dron Ukraine.

Tragedi itu membunuh sekurang-kurangnya 38 orang, manakala 29 lagi terselamat.

“Selepas letupan… saya fikir pesawat itu akan hancur,” kata Subhonkul Rakhimov, salah seorang penumpang, kepada Reuters di hospital.

Dia mula membaca doa dan bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan buruk selepas mendengar letupan itu.

“Jelas sekali pesawat itu mengalami kerosakan. Keadaannya seperti tidak stabil seolah-olah bukan pesawat sama lagi,” katanya.

Seorang lagi penumpang memberitahu Reuters, turut mendengar bunyi letupan kuat.

“Saya sangat takut,” kata Vafa Shabanova, sambil menjelaskan dia turut mendengar letupan kedua.

Dia kemudian diminta seorang pramugara untuk berpindah ke bahagian belakang pesawat.

Kedua-dua penumpang itu mendakwa, mereka merasakan terdapat masalah dengan paras oksigen dalam kabin selepas letupan itu.

Pramugara Zulfugar Asadov pula berkata, pendaratan di Grozny ditolak akibat kabus, menyebabkan juruterbang berada di udara sewaktu beberapa letupan berlaku di luar pesawat.

“Juruterbang baru sahaja menaikkan pesawat ketika saya mendengar letupan dari sayap kiri. Terdapat tiga letupan,” katanya memaklumkan ia menghentam sayap dan kabin pula kehilangan tekanan udara.

Selain nahas ngeri itu, kisah daripada mangsa pesawat memberi gambaran mengenai punca yang mungkin menyebabkan tragedi itu berlaku.

Azerbaijan Airlines semalam menggantung beberapa penerbangan ke bandar-bandar di Russia dan menyatakan, mereka percaya nahas itu disebabkan ‘campur tangan fizikal dan teknikal luar’ tetapi tiada butiran lanjut diberikan.

Sementara itu, empat sumber yang mengetahui hasil siasatan Azerbaijan mengenai tragedi itu memberitahu Reuters, semalam pertahanan udara Russia secara tidak sengaja menembak jatuh pesawat itu.

Russia pula berkata, adalah penting untuk menunggu hasil siasatan rasmi sebelum memahami apa yang berlaku.

Jet penumpang Embraer itu terbang dari Baku, ibu negara Azerbaijan, ke Grozny di wilayah Chechnya, Russia sebelum menyimpang ratusan kilometer melintasi Laut Kaspia.

“Kapten menyarankan untuk mendaratkan pesawat di laut, tetapi dia memutuskan untuk menuju ke Aktau dan mendarat di darat.

“Dia memberi amaran bahawa pendaratan akan buruk dan meminta kami bersedia serta mempersiapkan penumpang,” kata Asadov.

Pesawat itu terhempas di pantai bertentangan Laut Kaspia dengan pihak pengawal selia penerbangan Russia menyatakan kemungkinan ia disebabkan pelanggaran burung.

Rakaman video oleh penumpang sebelum pesawat terhempas menunjukkan topeng oksigen turun dan penumpang memakai jaket keselamatan.

Rakaman kemudian menunjukkan penumpang berlumuran darah dan cedera keluar dari pesawat.

Kata Rakhimov, selepas kekecohan akibat pendaratan cemas itu, keadaan menjadi senyap sebelum terdengar rintihan mangsa yang cedera.

Kejadian ini memperlihatkan mengenai risiko kepada penerbangan awam walaupun pesawat terbang ratusan kilometer dari zon perang, terutama apabila peperangan dron sedang berlaku.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

Loading...
Terkini