comscore
Tumpuan :
Dunia

Penularan Mpox belum menurun di Afrika, wabak Marburg semakin terkawal

Foto fail Reuters

ADDIS ABABA: Tiga bulan selepas pengisytiharan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam bagi keselamatan benua, penularan virus itu masih belum menunjukkan tanda-tanda menurun apabila jumlah kes yang dilaporkan setakat tahun ini melepasi 53,000, menurut amaran Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC).

Semasa taklimat media dalam talian pada Khamis malam, Ketua Pengarah Africa CDC Jean Kaseya  berkata 19 negara Afrika telah melaporkan 53,903 kes mpox, dengan 11,147 kes disahkan dan 1,109 kematian sejak awal tahun ini. Minggu lepas sahaja, benua Afrika mencatatkan 2,836 kes baharu, termasuk 461 kes disahkan dan 34 kematian baharu.

Data daripada agensi penjagaan kesihatan khas Kesatuan Afrika menunjukkan bahawa jumlah kes mpox yang disahkan di Afrika melonjak lebih 569 peratus tahun ini berbanding jumlah tahun lepas.

Menekankan keseriusan krisis itu, Kaseya berkata wabak mpox masih berterusan walaupun telah tiga bulan diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan benua oleh Africa CDC. Beliau menegaskan keperluan untuk memperluas ujian dan meningkatkan pengeluaran peralatan perubatan tempatan.

“Tiada asas untuk mengatakan wabak mpox adalah terkawal. Berdasarkan data, dijangka jumlah kes akan meningkat lagi sebelum stabil dan menunjukkan trend penurunan menjelang awal tahun hadapan,” kata Ketua Africa CDC, menyeru tindakan berani diambil untuk mengekang penularan mpox di Afrika.

Mpox, yang juga dikenali sebagai cacar monyet, kali pertama dikesan pada monyet makmal pada tahun 1958. Ia adalah penyakit virus jarang jumpa yang biasanya merebak melalui cecair badan, titisan pernafasan, dan bahan yang tercemar. Jangkitan ini biasanya menyebabkan demam, ruam, dan bengkak pada kelenjar limfa.

Pada pertengahan Ogos, Africa CDC mengisytiharkan wabak mpox yang berterusan di Afrika sebagai kecemasan kesihatan awam bagi keselamatan benua. Tidak lama selepas itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam membabitkan kebimbangan antarabangsa, mengaktifkan tahap amaran tertinggi global buat kali kedua dalam dua tahun.

Sementara itu, wabak penyakit virus Marburg di Rwanda menunjukkan tanda-tanda terkawal sejak kes pertama dilaporkan, menurut seorang pegawai kanan pada Khamis.

Menteri Kesihatan Rwanda, Sabin Nsanzimana, membuat kenyataan itu dalam taklimat media mingguan secara maya mengenai wabak mpox di beberapa negara Afrika dan wabak penyakit virus Marburg di Rwanda, bersama pegawai daripada Africa CDC.

Sejak wabak itu bermula, Rwanda mengesahkan 66 kes dan 15 kematian, kata Nsanzimana. Jumlah pesakit yang sembuh meningkat kepada 51, manakala usaha ujian dipertingkatkan, dengan lebih 7,400 ujian dijalankan.

Nsanzimana berkata pemantauan berwaspada terhadap individu yang pulih sedang dijalankan, bersama pemerhatian teliti ke atas gua tempat tinggal kelawar buah yang dikaitkan dengan wabak itu.

Beliau berkata wabak penyakit virus Marburg di Rwanda telah berjaya dikawal, dengan tiada kes baharu dilaporkan dalam hampir dua minggu dan tiada kematian direkodkan dalam tempoh sebulan. Semua pesakit yang dirawat telah dibenarkan keluar dan pusat rawatan ditutup.

Nsanzimana berkata kadar kematian kes kekal pada 22.7 peratus, yang agak rendah berbanding wabak sebelum ini di rantau berkenaan.

Pada 9 Nov, kiraan 42 hari yang disyorkan untuk mengisytiharkan berakhirnya wabak penyakit virus Marburg di Rwanda telah bermula, berikutan pengesahan bahawa pesakit terakhir diuji negatif daripada virus itu melalui ujian tindak balas berantai polimerase (PCR).

Rwanda tidak melaporkan sebarang kes baharu yang disahkan sejak 30 Okt, dan kematian berkaitan Marburg terakhir dicatatkan pada 14 Okt. Menurut WHO, wabak itu hanya akan diisytiharkan berakhir jika tiada jangkitan baharu dalam tempoh 42 hari berkenaan.

Virus Marburg, yang sangat berjangkit dengan kadar kematian sehingga 88 peratus, menyebabkan demam berdarah dan berasal dari keluarga virus yang sama dengan Ebola, menurut WHO. Gejala biasanya muncul dalam tempoh seminggu selepas pendedahan, termasuk demam tinggi, sakit kepala teruk, dan rasa tidak sihat. – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini