![](https://media.buletintv3.my/2025/02/BTV3-NEW-8.jpg)
WASHINGTON, DC: Amerika Syarikat mengenakan sekatan pertama terhadap Iran sejak Donald Trump kembali ke White House, ketika presiden itu berusaha untuk mengenakan semula tekanan maksimum ke atas Tehran.
Jabatan Perbendaharaan A.S. mengumumkan sekatan tersebut dengan menyatakan bahawa ia disasarkan kepada “rangkaian minyak” Iran.
Langkah-langkah sekatan ini menyasarkan syarikat, kapal, dan individu yang berhubung dengan syarikat-syarikat yang sudah dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat. Di bawah pemerintahan bekas Presiden Joe Biden, AS secara rutin mengenakan penalti seperti ini bagi menguatkuasakan sekatan sedia ada.
“Iran terus berusaha menggunakan hasil minyaknya untuk membiayai pembangunan program nuklearnya, menghasilkan peluru berpandu balistik dan kenderaan udara tanpa pemandu yang berbahaya serta menyokong kumpulan proksi pengganas serantau,” kata Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, dalam satu kenyataan.
![](https://media.buletintv3.my/2025/02/BTV3-NEW-9.jpg)
“Amerika Syarikat komited untuk secara agresif menyasarkan sebarang usaha Iran mendapatkan dana bagi aktiviti-aktiviti jahat ini.”
Iran sejak sekian lama menolak sekatan ke atas sektor minyaknya dan usaha merampas eksportnya sebagai “lanun ekonomi.”
Jabatan Perbendaharaan AS menyatakan bahawa sekatan ini merangkumi “entiti dan individu di pelbagai bidang kuasa,” termasuk China, India, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Tindakan ini dilakukan dua hari selepas Donald Trump menandatangani perintah eksekutif untuk menghidupkan semula kempen tekanannya terhadap Iran, yang dimulakannya semasa penggal pertamanya selepas membatalkan perjanjian antarabangsa dengan Tehran pada tahun 2018. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.