BAGHDAD: Amerika Syarikat (A.S) dan Iraq mencapai persefahaman mengenai rancangan penarikan pasukan gabungan yang dipimpin oleh A.S dari Iraq.
Menurut beberapa sumber terdekat, rancangan itu secara umumnya telah dipersetujui namun memerlukan kelulusan akhir kedua-dua negara selain tarikh pengumuman.
Ia bakal menyaksikan ratusan tentera meninggalkan Iraq menjelang September 2025, dengan baki tentera dijadual berundur sepenuhnya menjelang akhir 2026.
Memetik seorang pegawai kanan A.S, pihak negara itu telah mempunyai perjanjian, dan kini diakhir perbincangan untuk diumumkan.
A.S dan Iraq juga sedang mencari jalan bagi membentuk hubungan penasihat baru yang mungkin membenarkan beberapa tentera AS kekal di Iraq selepas pengunduran.
Pengumuman rasmi yang pada asalnya dijadual beberapa minggu lalu ditangguh ekoran peningkatan ketegangan serantau berkaitan perang Israel di Gaza serta beberapa butiran akhir yang perlu diselesaikan.
Dalam pada itu, beberapa sumber lain yang boleh dipercayai menyatakan perjanjian itu mungkin akan diumumkan bulan ini.
Penasihat Hal Ehwal Luar Perdana Menteri Iraq, Farhad Alaaldin, berkata perbincangan teknikal dengan Washington mengenai penarikan gabungan telah selesai.
Ujarnya, pihak negara itu dan A.S di ambang mengubah hubungan antara Iraq dan anggota gabungan antarabangsa ke tahap baru, dengan memberi tumpuan kepada hubungan dua hala dalam bidang ketenteraan, keselamatan, ekonomi, dan budaya.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai butiran rancangan berkenaan.
Langkah sama juga diambil A.S yang enggan mendedah lebih lanjut perkara itu.
April lalu dalam kenyataan bersama, Presiden AS, Joe Biden dan Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani mengesahkan mereka akan mengkaji faktor untuk menentukan bila dan bagaimana misi Gabungan Global di Iraq akan berakhir dan beralih kepada perkongsian keselamatan dua hala yang berterusan.
Perjanjian itu adalah hasil daripada perbincangan selama lebih enam bulan antara Baghdad dan Washington, yang dimulakan oleh Perdana Menteri al-Sudani pada Januari berikutan serangan oleh kumpulan bersenjata yang disokong Iran terhadap pasukan AS yang berpangkalan di Iraq.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.