Tumpuan :
Dunia

Penggunaan ketamin di Australia capai tahap tertinggi, hasil analisis air kumbahan

Foto hiasan

CANBERRA: Penggunaan ketamin secara haram di Australia meningkat ke tahap tertinggi yang direkodkan, menurut analisis tahap dadah yang ditemui dalam air kumbahan, lapor Xinhua.

Suruhanjaya Perisikan Jenayah Australia (ACIC) pada Khamis menerbitkan laporan ke-23 daripada Program Pemantauan Dadah dalam Air Kumbahan Kebangsaan.

Berdasarkan data yang dikumpul dari 59 lokasi di seluruh Australia pada April dan Jun 2024, laporan itu mendedahkan, terdapat rekod tertinggi perkumuhan ketamin di bandar-bandar utama dan kawasan wilayah pada April.

Digunakan secara perubatan untuk aruhan dan menyelenggara ubat bius, ketamin juga digunakan secara haram sebagai dadah rekreasi.

Laporan itu juga mendapati penggunaan kokain adalah lebih rendah di bandar utama dan kawasan luar bandar pada April berbanding Disember 2023 tetapi masih lebih tinggi berbanding sebelum pandemik COVID-19.

Penggunaan “opioid oxycodone” dan “fentanyl” di kawasan luar bandar jatuh ke tahap terendah yang direkodkan pada April.

Kanabis kekal sebagai jenis dadah paling banyak digunakan di Australia.

“Banyak kemudaratan yang dialami rakyat Australia akibat jenayah terancang adalah disebabkan oleh penyalahgunaan dadah. Kemudaratan ini mungkin termasuk kesan negatif ke atas kesihatan fizikal dan mental pengguna serta keluarga mereka, perbuatan keganasan termasuk serangan serius dan pembunuhan, jenayah harta benda dan kesalahan trafik yang berbahaya,” kata Ketua Eksekutif ACIC Heather Cook dalam satu kenyataan.

“Kumpulan jenayah serius dan terancang sangat berkemampuan, mempunyai sumber yang banyak, berdaya tahan, dan semakin bersifat rentas sempadan. Mereka mengancam keselamatan komuniti, integriti sempadan kami dan mereka mengancam serta melemahkan sistem kewangan kami,” kata Cook. – BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini