![](https://media.buletintv3.my/2024/12/Pengerusi-parti-kerajaan-Korea-Selatan-umum-letak-jawatan-selepas-pemecatan-Yoon.jpg)
SEOUL: Pengerusi parti pemerintah Korea Selatan pada Isnin mengumumkan peletakan jawatannya selepas Presiden Yoon Suk-yeol dipecat oleh parlimen pada Sabtu lepas, lapor Xinhua.
Han Dong-hoon, pengerusi Parti Kuasa Rakyat (PPP) berkata dalam satu sidang media yang disiarkan televisyen bahawa beliau meletakkan jawatan kerana majlis tertinggi parti itu runtuh selepas peletakan jawatan semua anggotanya, menjadikan beliau tidak dapat menjalankan tugas sebagai pengerusi parti.
Beliau memohon maaf kepada semua rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan undang-undang tentera yang diisytiharkan oleh Yoon pada malam 3 Dis lepas tetapi dibatalkan oleh Dewan Negara beberapa jam kemudian.
Han mengakui telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih baik bagi negara selain pemecatan Yoon, namun usaha itu gagal, katanya. Han sebelum ini menggesa agar Yoon meletakkan jawatan dengan cara yang teratur.
Peletakan jawatan Han itu berlaku kurang lima bulan selepas beliau dipilih sebagai pengerusi parti pada 23 Julai lepas.
Usul kedua untuk memecat Yoon diluluskan oleh Dewan Negara pada Sabtu dan diserahkan kepada mahkamah perlembagaan untuk dipertimbangkan dalam tempoh sehingga 180 hari, sepanjang tempoh itu kuasa presiden Yoon digantung.
Susulan pemecatan itu, semua lima anggota terpilih majlis tertinggi Parti Kuasa Rakyat menyatakan kesediaan mereka untuk meletak jawatan. Dengan peletakan jawatan Han, ketua ahli parlimen Kweon Seong-dong akan menjalankan tugas sebagai pemangku pengerusi parti pemerintah. – BERNAMA-XINHUA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.