
ARGUINEGUIN: Sebuah kapal pengawal pantai Sepanyol menyelamatkan sekumpulan 64 migran pada hari Jumaat di perairan sekitar Kepulauan Canary dan memindahkan mereka ke pelabuhan Arguineguin di Pulau Gran Canaria.
Menurut Pasukan Palang Merah, bot kayu yang membawa penumpang yang kelihatan keletihan serta beberapa yang cedera itu dikesan ketika berada 6 batu di selatan Gran Canaria.

Tujuh pulau Sepanyol di pesisir barat laut Afrika di Lautan Atlantik sedang bergelut untuk menangani lonjakan migrasi terutamanya dari Mali, Senegal dan Maghribi.
Kepulauan Canary mencatat jumlah kemasukan tertinggi dalam setahun untuk tahun kedua berturut-turut dengan 46,843 ketibaan pada 2024, yang mewakili 73 peratus daripada jumlah migrasi ke Sepanyol, menurut data Kementerian Dalam Negeri.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 3,223 migran telah tiba di Kepulauan Canary pada 2025, menurut data terkini daripada Kementerian Dalam Negeri. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.