Tumpuan :
Dunia

Pengasas Teh Botol Sosro meninggal dunia

Soegiharto Sosrodjojo. – Foto Agensi

JAKARTA: Pengasas Kumpulan Rekso yang terkenal dengan pengeluaran Teh Botol Sosro meninggal dunia, Jumaat lalu dan disemadikan di Jakarta Utara.

Soegiharto Sosrodjojo berasal dari Slawi, tengah Jawa menghembuskan nafas terakhir pada usia 96 tahun di Hospital Mitra Keluarga Kelapa Gading, menurut Tribun News yang memetik Instagram Buddha Theravada Indonesia (Magabudhi).

Upacara penyemadian Soegiharto berlangsung hari ini di Grand Heaven Pluit, Jakarta Utara.

Memetik CNBC Indonesia, Soegiharto adalah pengasas Kumpulan Rekso yang mengurus beberapa syarikat, namun lebih tersohor dengan pengeluaran Teh Botol Sosro oleh anak syarikatnya PT Sinar Sostro.

Sinar Sostro diasaskan mendiang pada 17 Julai 1974 di Medan Satria, Bekasi sebelum diwarisi tiga anaknya, Soegiharto, Soetjipto and Surjanto.

Bagaimanapun sejarah keluarga Sosrodjojo menyatakan perniagaan mengeluar dan menjual teh mereka bermula di bawah label, Teh Cap Botol pada 1940 di bandar Slawi, sebelum mendiang Soegiharto dan abangnya berpindah ke Jakarta pada 1960, mengembangkan lagi perusahaan mereka.

Idea untuk menjual teh siap minum dalam botol tercetus pada 1969 dengan nama Teh Botol Sosro yang diinspirasikan daripada gabungan nama produk Teh Cap Botol dan nama keluarga Sosrodjojo.

Inovasi itu menjadi titik tolak kejayaan syarikat, membolehkan produk berkenaan bukan hanya terkenal di Indonesia, bahkan menembusi pasaran antarabangsa di Asia, Amerika, Eropah, Afrika, Australia dan Kepulauan Pasifik.

Forbes pada 2009 turut menyenaraikan Soegiharto Sosrodjojo sebagai salah seorang individu terkaya di Indonesia dengan nilai kekayaan AS$1.2 bilion, mengatasi Low Tuck Kwong dan Eddy William Katuari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini