BEIRUT: Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lubnan menyifatkan pemusnahan ‘sengaja dan langsung’ harta mereka oleh tentera Israel sebagai ‘pelanggaran ketara’ undang-undang antarabangsa.
Misi PBB dikenali sebagai UNIFIL yang memiliki kekuatan 10,000 anggota, ditempatkan di selatan Lubnan untuk memantau pertempuran di sepanjang ‘garis biru’ yang memisahkan Lubnan dan Israel.
Sejak Israel melancarkan kempen darat melintasi sempadan terhadap pejuang Hizbullah pada akhir September, UNIFIL beberapa kali menuduh pasukan pertahanan Israel (IDF) menyerang pangkalan mereka dengan sengaja, termasuk menembak ke arah pasukan pengaman dan memusnahkan menara pengawasan.
Israel menafikan tuduhan itu sebagai serangan secara sengaja dan sebaliknya mendakwa tentera PBB melindungi pejuang Hizbullah serta meminta UNIFIL berpindah dari selatan Lubnan demi keselamatan mereka sendiri, yang ditolak oleh pasukan tersebut.
Dalam tuduhan terbaharunya, UNIFIL menyatakan IDF menggunakan jentolak untuk memusnahkan sebahagian pagar dan struktur konkrit di salah satu pos pengaman PBB di selatan Lubnan pada Khamis.
Pasukan pengaman turut melihat tentera Israel menanggalkan tong yang menandakan garis biru minggu ini.
“Pemusnahan sengaja dan secara langsung harta UNIFIL oleh IDF adalah pelanggaran ketara undang-undang antarabangsa dan resolusi 1701,” kata UNIFIL, merujuk kepada resolusi PBB yang mewajibkan pemberhentian permusuhan di selatan Lubnan selepas perang terdahulu.
Menurut UNIFIL, kejadian semalam, seperti tujuh kes seumpamanya yang lain, bukanlah isu pasukan pengaman yang terperangkap dalam pertempuran, tetapi tindakan sengaja dan langsung oleh IDF.
Pasukan tersebut menyatakan mereka akan kekal di Lubnan ‘walaupun terdapat tekanan yang tidak boleh diterima ke atas misi mereka’.
Tiada komen segera daripada tentera Israel susulan kenyataan dikeluarkan sehari selepas enam pengaman Malaysia dalam sebuah bas PBB melintasi pos pemeriksaan cedera dalam serangan dron Israel yang membunuh tiga warga Lubnan dalam kereta berhampiran.
Secara berasingan, tentera Israel menyatakan mereka menemukan sebuah pusat latihan Hizbullah kira-kira 200 meter dari pangkalan UNIFIL di selatan Lubnan, lengkap dengan bahan pembelajaran dan sejumlah besar senjata.
Tentera Israel menyatakan pusat itu, yang telah dimusnahkan, mengandungi pelancar roket yang sedia untuk dilancarkan ke arah komuniti Israel.
Jurucakap UNIFIL berkata tentera Israel tidak berkongsi sebarang maklumat mengenai kemudahan Hizbullah yang didakwa ditemui itu.
Israel menuduh pasukan UNIFIL mengabaikan tindakan Hizbullah yang membina rangkaian terowong dan infrastruktur lain berhampiran sempadan Israel utara selama lebih daripada sedekad, selalunya dalam jarak yang kelihatan dari pangkalan mereka.
Israel menyatakan bahawa infrastruktur itu adalah sebahagian daripada rancangan Hizbullah untuk melancarkan serangan terhadap Israel seumpama serangan 7 Oktober 2023 terhadap komuniti di selatan Israel oleh kumpulan pejuang Palestin, Hamas.
Jurucakap UNIFIL menyatakan bahawa mereka secara berkala melaporkan lokasi yang mencurigakan kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
Tambahnya, UNSC setakat ini tidak meminta UNIFIL untuk melucutkan senjata kumpulan bersenjata mewakili pihak kerajaan termasuk Hizbullah. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.