KUALA LUMPUR: Golongan pengamal media berhimpun di ibu negara Malaysia pada Jumaat dan merayu campur tangan masyarakat antarabangsa, terutama mereka yang mempunyai kuasa dan kewajipan untuk melindungai wartawan yang bertugas di zon konflik.
Ketua Biro Al Jazeera Malaysia, Sameer Allawi berkata lebih 200 wartawan maut di Gaza, Palestin sejak Oktober 2023 tetapi tidak ada tindakan diambil terhadap pelakunya.
“Apabila wartawan menjadi mangsa, realiti dipadamkan dan hidup kita diletakkan dalam bahaya. Jika media tidak dapat bertahan, begitu juga kita, terutamanya dalam waktu mencabar ini,” katanya dalam perhimpunan bersempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada Jumaat.
Perhimpunan ini acara yang julung kali dianjurkan Al Jazeera Malaysia dihadiri hampir 50 individu termasuk media tempatan dan antarabangsa, persatuan wartawan, pertubuhan hak asasi manusia dan badan bukan kerajaan (NGO).
Sameer berkata mereka yang prihatin tentang hak asasi manusia dan layanan tidak adil kepada wartawan perlu bangkit dan mempertahankan wartawan di seluruh dunia terutamanya dalam kawasan konflik.
“Ini amat penting, terutamanya di Palestin di mana keganasan pendudukan (Israel) telah mengakibatkan kematian wartawan, keluarga dan kanak-kanak serta kemusnahan hospital dan sekolah.”
“Saya berani bercakap masyarakat antarabangsa tidak menjalankan tugas mereka yang sepatutnya. Mereka mengabaikan tanggungjawab mereka untuk melindungi wartawan dan mendukung kebebasan media di seluruh dunia terutamanya di zon konflik dan khususnya di Palestin,” katanya. – BERNAMA.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.