THE HAGUE: Maghribi pada Jumaat menegaskan bahawa penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki termasuk di Baitulmaqdis Timur menjadi penghalang kepada keamanan dan mengancam usaha penyelesaian dua negara.
Duta Maghribi ke The Hague, Belanda berkata demikian ketika membentangkan kenyataan lisan negara itu dalam sesi pendengaran awam Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai kesan perundangan yang timbul akibat dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis Timur.
Penyelesaian konflik Israel-Palestin selama beberapa dekad melalui rundingan dan dialog berdasarkan undang-undang antarabangsa kekal menjadi asas kepada keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Asia Barat, lapor Agensi Berita Maghribi (MAP).
Maghribi mengulangi komitmennya bahawa undang-undang antarabangsa perlu dihormati dan menggalakkan keamanan di Asia Barat demi mencapai penyelesaian berkekalan berdasarkan prinsip dua negara iaitu sebuah negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Timur Al-Quds (Baitulmaqdis) sebagai ibu negara.
“Penyelesaian konflik Israel-Palestin melalui dialog dan rundingan, selaras dengan rangka kerja rundingan PBB khususnya Resolusi Majlis Keselamatan 242 dan 338 kekal sebagai asas bagi keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Asia Barat,” katanya.
Lebih 50 negara dan organisasi antarabangsa mengambil bahagian dalam pendengaran awam di ICJ dari 19 hingga 26 Feb. – BERNAMA-MAP
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.