comscore
Tumpuan :
Dunia

Penduduk Ukraine digesa simpan bekalan keperluan

Penduduk setempat berbaris bagi mendapatkan bekalan air di Kyiv, Ukraine, selepas sebahagian besar infrastruktur awam musnah akibat serangan Russia. – FOTO: AP

KYIV: Datuk Bandar Kyiv menggesa penduduk menyimpan bekalan air, makanan dan pakaian tebal sekiranya berlaku gangguan menyeluruh akibat serangan udara Russia selain mempertimbangkan untuk berpindah sementara ke pinggir ibu kota Ukraine.

Datuk Bandar, Vitaliy Klitschko memberi amaran bahawa suhu di rumah boleh turun dengan cepat sekiranya berlaku kemusnahan infrastruktur tenaga, menyebabkan ketiadaan bekalan elektrik, air, saliran dan bekalan haba.

“Suhu di dalam rumah mungkin tidak jauh berbeza daripada suhu luar. Jadi, saya merayu penduduk menyimpan bekalan air, produk makanan tahan lama dan pakaian tebal,” katanya dalam forum keselamatan di Kyiv, di mana suhu turun sehingga sekitar -4 darjah Celsius.

Peperangan kini memasuki fasa baharu tanpa henti dengan bermulanya musim sejuk pertama sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu.
Klitschko berkata, jika tiada haba atau air antara 12 dan 14 jam pada suhu -5 darjah Celcius, bandar itu perlu mengalirkan air daripada sistem pemanas kediaman untuk mengelakkan kerosakan kekal.

“Kami tidak akan dapat memulihkan sistem ini sehingga musim bunga dan ia akan menjadi satu cabaran besar,” katanya.

Unit kuasa di beberapa stesen janakuasa di seluruh Ukraine terpaksa melakukan penutupan kecemasan minggu ini selepas beberapa serangan peluru berpandu Russia.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Denys Shmyhal, berkata Ukraine masih mengalami defisit 30 peratus elektrik, enam hari selepas gelombang besar terakhir peluru berpandu Russia menyerang grid kuasanya.

Bagi membaiki kekurangan pemanasan dan bekalan elektrik, pihak berkuasa Kyiv menyediakan 430 titik pemanasan di mana orang ramai boleh memanaskan badan dan mengecas semula telefon mereka, tetapi jumlah itu tidak mencukupi untuk sebuah bandar dengan 3.5 juta penduduk.

Russia berkata, serangan ke atas infrastruktur penting adalah sah dari segi ketenteraan dan Kyiv boleh menamatkan penderitaan rakyatnya jika ia tunduk kepada tuntutan Russia, yang tidak dinyatakan oleh Moscow.

Sebaliknya, Ukraine berkata serangan yang bertujuan menyebabkan kesengsaraan awam itu adalah jenayah perang. – REUTERS

Loading...
Terkini