comscore
Tumpuan :
Dunia

Penduduk Ukraine dianggar berkurangan 10 juta orang akibat perang

FOTO: Reuters

GENEVA: Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) pada Selasa mendedahkan wujud penyusutan penduduk di Ukraine sebanyak 10 juta sejak 2014, dan keadaan semakin memburuk selepas serangan Russia bermula, lapor Agensi Anadolu.

Florence Bauer, Pengarah Serantau UNFPA untuk Eropah Timur dan Asia Tengah berkata dalam satu taklimat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva bahawa lapan juta daripada penurunan jumlah penduduk itu berlaku sejak konflik Moscow-Kyiev pada 2022.

“Ini juga mewakili kehilangan besar dalam modal insan – modal insan yang sangat diperlukan untuk pemulihan dan membina masa depan Ukraine,” kata Bauer.

Beliau menegaskan bahawa sejak 2022, kadar kelahiran turun kepada satu anak per wanita – ‘kadar kesuburan terendah di Eropah dan satu daripada yang terendah di dunia’.

Sementara itu, berjuta-juta orang dipindahkan secara dalaman di dalam negara itu dan kira-kira 6.7 juta orang melarikan diri ke luar negara sebagai pelarian, katanya.

Beberapa wilayah telah mengalami pengurangan penduduk apabila golongan muda meninggalkan kawasan berkenaan, tambahnya, dengan sejumlah besar penduduk terbunuh akibat kesan langsung daripada konflik.

“Bagi merancang dengan berkesan untuk pemulihan Ukraine, bancian penduduk amat diperlukan, sebaik sahaja keadaan keselamatan mengizinkan,” katanya.

Tambah beliau, bancian terakhir dijalankan pada 2001, menjadikan data demografi yang dikemas kini ‘sangat kritikal’. – BERNAMA-ANADOLU

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini