PAIPORTA: Penduduk di Paiporta, sebuah bandar di wilayah Valencia, Sepanyol, bersiap sedia untuk menghadapi siri hujan lebat dan ribut yang dijangka berlaku, hanya dua minggu selepas banjir kilat menyebabkan sungai melimpah dan merosakkan banyak kawasan di sekitarnya.
Keadaan itu dijangka menambah kesulitan bagi kawasan yang dalam fasa pemulihan akibat bencana sebelumnya.
Jabatan Cuaca Sepanyol, AEMET, telah mengeluarkan amaran pada Selasa, meramalkan hujan antara 40 hingga 120 mm di kawasan pantai selatan Valencia.
Hal itu menambah kebimbangan di kalangan penduduk yang baru sahaja mengalami kerosakan teruk akibat banjir, dengan banyak rumah dan infrastruktur yang masih dalam proses pembaikan.
Ketika ini, di Paiporta, jalan-jalan masih diliputi lumpur, sementara operasi menyelamat dan pembersihan sedang diteruskan. Pihak berkuasa tempatan telah membatalkan semua aktiviti tidak penting dan menasihatkan penduduk untuk bekerja dari rumah.
Selain itu, sukarelawan yang terlibat dalam usaha pembersihan juga diminta untuk menghentikan kerja-kerja mereka buat sementara waktu untuk memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi ribut.
Sementara itu, sebagai usaha untuk mengurangkan kesan banjir yang lebih teruk, beg pasir telah disusun di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi bagi memberikan perlindungan tambahan.
Pada masa sama, perkhidmatan penyelamat maritim Sepanyol telah terpaksa menghentikan operasi mencari orang yang hilang di pesisir pantai Valencia berikutan cuaca buruk yang semakin memburuk.
Terdahulu, lebih 200 nyawa terkorban ketika banjir kilat yang melanda kawasan itu, lantas menjadikan ia sebagai bencana terburuk pernah berlaku di Sepanyol.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.