
JAKARTA: Walaupun kadar inflasi tahunan di Indonesia berada pada tahap terendah dalam 24 tahun, penduduk masih mengadu tentang kenaikan harga makanan menjelang bulan suci Ramadan.
Kadar inflasi tahunan Indonesia merosot kepada 0.76 peratus pada Januari, menurut data rasmi pada 3 Februari, turun mendadak daripada 1.57 peratus pada Disember dan berada di bawah had bawah sasaran tahunan bank pusat.
Namun begitu, harga makanan di Indonesia lazimnya meningkat menjelang Ramadan akibat permintaan yang melonjak.
“Dengan bulan puasa yang semakin dekat, harga pasti akan naik dan kenaikannya sekitar 40 peratus untuk semua barang termasuk ayam,” kata Utin Sutini, seorang penjual ayam di salah satu pasar di Jakarta, kepada Reuters pada hari Rabu.
“Biasanya kami memasak hingga setengah kilogram, tetapi sekarang kami hanya membeli seperempat kilogram,” kata Mimin Carmina, seorang suri rumah berusia 50 tahun.
Minggu lalu, Presiden Prabowo Subianto mengarahkan pentadbirannya untuk menurunkan harga bahan makanan asas menjelang Ramadan, menurut laporan media tempatan. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.