Tumpuan :
Dunia

Pendaki maut terjatuh dari ketinggian 150 meter Banjaran Alps, Jerman

Foto Agensi

STUTTGART: Seorang pendaki berusia 34 tahun disyaki terjatuh dari ketinggian 150 meter (m) di Banjaran Alps Jerman berhampiran Berchtesgaden dan meninggal dunia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut polis pada Isnin, mangsa dipercayai mengikuti laluan yang sering ditanda pada peta telefon bimbit tetapi sebenarnya tidak wujud.

Di kawasan “berbatu dan berumput, lelaki itu mungkin tergelincir dan kemudian jatuh di atas batu sekurang-kurangnya 150 m,” menurut kenyataan itu. Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Lelaki dari bandar barat Siegen di negeri North Rhine Westphalia itu belum pulang dari pendakian ke puncak Hoher Laafeld pada Sabtu. Atas sebab itu, pemilik tanah menghubungi polis pada Ahad.

Bersama pasukan penyelamat gunung, mereka menemui mayat lelaki yang hilang itu pada ketinggian 1,880 m dari paras laut. – BERNAMA-dpa

Loading...
Terkini