![](https://media.buletintv3.my/2025/02/GENERIC-TELUR.jpg)
PENNSYLVANIA: Pencuri di Greencastle dilaporkan melarikan 100,000 telur yang ketika ini menjadi salah satu barangan paling berharga di Amerika Syarikat (AS).
Metro UK melaporkan, penjenayah itu mencuri telur organik yang bernilai US$40,000 (RM177,742) dari sebuah gudang pemborong, ketika harga produk itu melonjak tinggi akibat kekurangan bekalan nasional disebabkan selesema burung.
Pegawai polis negeri, Megan Frazer menyifatkan kejadian yang berlaku hujung minggu lalu itu satu jenayah besar, berdasarkan nilai barangan yang dicuri.
“Pencuri boleh menjual atau menggunakannya untuk tujuan vandalisme. Kami masih tidak tahu tujuan sebenar mencuri 100,000 telur pada masa ini.
“Dengan kenaikan harga telur yang melampau, mungkin ada yang berfikir mereka boleh menjualnya,” katanya.
Sepanjang 12 tahun bertugas, ini kali pertama beliau mengetahui mengenai kecurian telur.
“Kes yang paling hampir ialah 10 tahun lalu apabila seseorang mencuri sebuah treler penuh dengan ayam,” kata Frazer.
Menurut polis, pencuri yang tidak dikenali itu memecah masuk ke dalam sebuah treler di gudang Pete and Gerry’s Organics sebelum jam 9 malam pada Sabtu.
Tiada petunjuk mengenai jenayah ini dan pihak berkuasa meminta bantuan orang ramai untuk mencari pencuri itu.
Harga telur kini meningkat lebih 50 peratus berbanding tahun lalu, menurut laporan indeks harga pengguna yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Buruh AS pada Jumaat.
Kos purata bagi satu dozen telur mencapai US$5.29 (RM23.51) pada akhir Januari, menurut kumpulan penyelidikan pengguna NIQ.
Setahun sebelumnya, harga bagi satu dozen telur sekitar US$3.50 (RM15.55).
Sehingga kini, sebanyak 17.2 juta ekor ayam mati akibat selesema burung. – Agensi
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.