BANGKOK: Lebih 100 sekolah awam di bawah Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) membatalkan kelas untuk tempoh antara satu hingga lima hari, bergantung kepada lokasi masing-masing susulan ibu negara itu mengalami pencemaran udara PM2.5 semakin buruk.
Sejak Isnin lalu, beberapa sekolah mula membatalkan kelas dan diikuti sekolah-sekolah lain mulai hari ini.
Gabenor BMA Chadchart Sittipunt, berkata beliau memberi kuasa kepada pengarah sekolah untuk menentukan sama ada kualiti udara di kawasan mereka menimbulkan bahaya kepada pelajar.
Katanya, Jabatan Pendidikan boleh mengarahkan sekolah BMA ditutup sehingga 15 hari jika lima daerah Bangkok mengalami kualiti udara PM2.5 tahap merah selama lebih tiga hari berturut-turut.
Sekiranya lebih daripada lima daerah menghadapi keadaan PM2.5 tahap merah selama lebih daripada tiga hari, gabenor BMA boleh mengarahkan sekolah ditutup lebih lama.
Sehingga semalam, daerah Nong Khaem, menjadi satu-satunya kawasan merekodkan kualiti udara PM2.5 tahap merah selama tiga hari berturut-turut sejak Isnin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.