comscore
Tumpuan :
Dunia

Pencemaran udara ancam Piala Dunia Kriket 

Foto: Reuters

NEW DELHI: Kualiti udara yang semakin teruk mencemar kemeriahan Piala Dunia kriket ketika  peminat berpusu-pusu ke stadium di seluruh bandar India.

Dengan tahap AQI melebihi 400, New Delhi dan Lahore Pakistan hari ini berada dalam senarai masa-nyata bandar paling tercemar di dunia yang direkodkan oleh kumpulan Switzerland IQAir.

AQI di Mumbai pula  berada di sekitar 200 mata menjelang perlawanan hari ini antara India dan Sri Lanka, menyaksikan Mumbai berada di antara 15 bandar paling tercemar di dunia.

Pada 15 November, Mumbai akan menjadi tumpuan ramai berikutan ia menjadi tuan rumah separuh akhir kejohanan sukan itu.

Minggu ini, Lembaga kriket India (BCCI) mengumumkan larangan pertunjukan bunga api semasa baki perlawanan kejohanan itu sebagai langkah untuk memerangi pencemaran.

Pemain mula menyuarakan kebimbangan mengenai udara toksik, dengan pemain dari England  Joe Root, mengadu sukar bernafas ketika perlawanan dan pemain tuan rumah, Rohit Sharma, menggesa perubahan untuk ‘generasi akan datang’.

Jerebu toksik yang menyelubungi ibu negara India hari ini, sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai satu lagi darurat kesihatan awam di New Delhi.

Pada masa sama, agensi kerajaan memberi amaran tahap pencemaran itu berupaya bertambah buruk dalam beberapa hari lagi walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengurangkannya.

Kawasan Anand Vihar di ibu negara hari ini menunjukkan Indeks Kualiti Udara (AQI) berada pada 415 daripada skala 500, memperlihatkan tahap pencemaran ‘teruk’ yang boleh menjejaskan orang yang sihat dan mereka yang mempunyai penyakit sedia ada.

Indeks sifar hingga 50 AQI dikategorikan sihat.

Penurunan kualiti udara di wilayah ini ketika musim sejuk sering disertai dengan peningkatan penyakit berkaitan pernafasan, mendorong penutupan sekolah dan kilang.

Kerajaan New Delhi juga mengumumkan larangan kemasukan bas diesel, selain memaklumkan aktiviti pembinaan akan dihentikan sekiranya keadaan berterusan.

– REUTERS

Loading...
Terkini