NEWFOUNDLAND: Pasukan penyelamat mencari kapal selam yang hilang berhampiran bangkai kapal Titanic dengan memfokuskan usaha pencarian mereka di kawasan terpencil di Atlantik Utara.
Pasukan penyelamat menerima bantuan dari seluruh dunia, menganggarkan penumpang mungkin kehabisan bekalan oksigen hari ini berdasarkan kapasiti kapal selam itu untuk bertahan sehingga 96 jam, menggunakan bekalan oksigen kecemasan.
Mereka yang menaiki kapal selam termasuk jutawan dan pengembara Britain, Hamish Harding, 58 tahun. Dan ahli perniagaan kelahiran Pakistan Shahzada Dawood, 48, bersama anak lelakinya Suleman, 19 tahun.
Penjelajah Perancis Paul-Henri Nargeolet, 77 tahun dan pengasas dan Ketua Eksekutif Ocean-Gate, Stockton Rush, juga dilaporkan berada dalam kapal selam itu.
Kenderaan kendalian jauh (ROV) turut dikerah untuk melakukan pemantauan berhampiran lokasi pesawat Kanada yang merakamkan bunyi dipercayai dari kapal selam titan itu.
Bagaimanapun ia masih belum menemui sebarang petunjuk. Pasukan dari Amerika Syarikat, Kanada dan Perancis yang menggunakan kapal terbang dan kapal telah melakukan operasi pencarian lebih daripada 10 ribu batu persegi kawasan laut terbuka.
Titan yang dikendalikan oleh OceanGate Expeditions dengan panjang 6.7 meter memulakan selaman pada jam 8 pagi, Ahad lalu.
Ia terputus hubungan komunikasi dengan kapal induknya kurang dua jam, selepas perjalanannya untuk melihat bangkai kapal Titanic. – REUTERS