Tumpuan :
Dunia

Pencairan glasier Switzerland melebihi purata pada 2024

Foto: Reuters

ZURICH: Glasier Switzerland cair pada kadar di atas purata pada 2024 apabila musim panas yang terik mencairkan salji yang banyak, kata badan pemantau GLAMOS pada Selasa (1 Oktober).

Pada awal tahun ini, ahli glasiologi telah merekodkan salji musim sejuk dan musim bunga yang melebihi purata di Alps, dengan harapan ia akan menghentikan pencairan glasier yang besar selama bertahun-tahun.

Biarpun dengan purata suhu pada Ogos beberapa darjah di atas paras beku, stesen Jungfraujoch setinggi 3,571 meter yang terletak di atas Glasier Aletsch, merekodkan kehilangan ais di seluruh negara pada bulan itu.

Secara keseluruhan, glasier Switzerland kehilangan 2.5% daripada jumlahnya tahun ini yang melebihi purata sedekad yang lalu.

“Adalah membimbangkan bahawa walaupun tahun yang sempurna untuk glasier, dengan musim sejuk yang kaya dengan salji dan musim bunga yang agak sejuk dan hujan, ia masih tidak mencukupi untuk glasier,” kata Matthias Huss, Pengarah GLAMOS pada hari Isnin (30 September).

“Jika trend berterusan seperti yang kita lihat pada tahun ini, ini akan menjadi bencana bagi glasier Switzerland,” tambahnya.

Salah satu faktor yang mempercepatkan proses pencairan Glasier ialah debu dari Sahara. Ia memberikan kepingan ais berwarna coklat atau merah jambu yang menghalang keupayaannya untuk memantulkan cahaya matahari kembali ke atmosfera.

Lebih separuh daripada glasier di Alps berada di Switzerland di mana suhu meningkat sekitar dua kali ganda purata global akibat perubahan iklim. Jika pelepasan gas rumah hijau terus meningkat, glasier Alps dijangka kehilangan lebih daripada 80% jisim semasanya menjelang 2100. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini