TOKYO: Penarafan ke atas kerajaan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida merosot 15 mata peratus bulan ke bulan kepada 41 peratus pada Jun, lapor Sputnik memetik hasil tinjauan yang dikeluarkan oleh akhbar Jepun, Yomiuri Shimbun pada Isnin.
Kemerosotan itu merupakan penurunan terbesar sejak pembentukan kabinet Kishida pada 2021, lapor akhbar itu.
Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa bilangan mereka yang menyuarakan ketidakpercayaan terhadap kerajaan Jepun meningkat 11 mata peratus kepada 44 peratus pada Jun.
Ketidakpercayaan itu mungkin disebabkan oleh langkah kerajaan yang mahu menggantikan polisi insurans kertas kepada kad pengenalan elektronik plastik yang berfungsi sebagai dokumen yang mengandungi data insurans perubatan dan sosial, peruntukan pencen serta data percukaian.
Gelombang kesilapan dan kegagalan semasa proses pendaftaran mencetuskan beberapa siri skandal di seluruh Jepun.
Selain itu, 55 peratus daripada mereka yang terlibat dalam tinjauan itu tidak bersetuju dengan rancangan kerajaan untuk menampung kos bersalin melalui insurans kesihatan bermula tahun fiskal 2026 bagi menggalakkan kadar kelahiran di negara itu manakala 37 peratus berpuas hati dengan langkah itu.
Kerajaan Jepun tidak menyatakan sumber pembiayaan untuk pembaharuan terbabit.
Tinjauan yang melibatkan 1,018 warga Jepun berumur 18 tahun ke atas itu dijalankan dari 23 hingga 25 Jun melalui temu bual telefon.
Bagi meningkatkan kadar kelahiran di Jepun, kerajaan bercadang mengetepikan had pendapatan isi rumah dalam memperuntukkan elaun kanak-kanak dengan elaun bulanan untuk anak akan dinaikkan kepada 30,000 yen bagi anak ketiga dan seterusnya dalam sesebuah keluarga.
Pembayaran juga akan dibuat sehingga hujung tahun fiskal (31 Mac di Jepun) apabila kanak-kanak itu mencapai umur 18 tahun.
Langkah ini dijangka berkuat kuasa pada Oktober 2024. – BERNAMA-SPUTNIK