comscore
Tumpuan :
Dunia

Pempengaruh media sosial Palestin sediakan makanan untuk pelarian Gaza

Foto fail Reuters

GAZA: Situasi kekurangan bekalan makanan yang mendesak di Jabalia menyebabkan seorang pempengaruh popular di media sosial, Hamada Shaqoura menjadi tukang masak untuk membantu penduduk yang kelaparan.

Shaqoura, seorang pempengaruh popular dengan ulasan masakan dan makanan mempunyai pengikut lebih daripada 500,000 di Instagram, bekerjasama dengan sekumpulan sukarelawan tempatan menyediakan bekalan makanan untuk penduduk yang terjejas khususnya kanak-kanak.

“Bahasa memasak adalah bahasa sejagat. Melalui makanan, saya dapat menceritakan kisah apa yang berlaku di Gaza kepada dunia,” kata Shaqoura.

Tambahnya walaupun keadaan semakin sukar, dia tetap berusaha menghasilkan makanan yang berkhasiat menggunakan bahan hasil daripada bantuan kemanusiaan yang tiba di Gaza.

Ketika ini, situasi kekurangan makanan semakin memburuk di Gaza, terutama di kawasan utara, dengan lebih 95 peratus penduduk mengalami tahap ketidakjaminan makanan yang tinggi.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan 36 kematian akibat kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak dan wanita hamil.

Pengarah Kecemasan Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Rick Brennan, berkata risiko kebuluran semakin meningkat jika keadaan tidak bertambah baik.

Menurut Reuters, Keadaan terkini semakin parah dengan lebih separuh daripada tanah pertanian Gaza rosak akibat konflik, hasil imej satelit yang dianalisis oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini