comscore
Tumpuan :
Dunia

Peminat bola sepak Israel jadi sasaran rusuhan, 2 pesawat dihantar ke Amsterdam

FOTO: REUTERS

AMSTERDAM: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengarahkan dua pesawat penyelamat dikerah ke Belanda, hari ini, susulan insiden keganasan di Amsterdam yang menyasarkan peminat bola sepak Israel, malam tadi.

Rakaman video yang tersebar dalam media sosial menunjukkan pertempuran di jalanan dengan polis antirusuhan turut campur tangan untuk meredakan ketegangan.

Menurut pejabat Netanyahu, arahan menghantar pesawat itu dibuat selepas berlaku ‘insiden amat ganas’ yang menyasarkan warga Israel susulan perlawanan antara Ajax Amsterdam yang secara tradisinya dikenali sebagai kelab Yahudi, dengan Maccabi Tel Aviv.

Dalam satu rakaman video oleh saksi yang disahkan Reuters, sekumpulan lelaki dilihat berlari berhampiran stesen pusat Amsterdam dengan mengejar dan menyerang individu lain, sementara kedengaran gema siren polis.

Perdana Menteri Belanda, Dick Schoof, berkata beliau terkejut dengan serangan anti-Semitik ke atas warga Israel itu yang dianggap sebagai tidak boleh diterima sama sekali.

Beliau dalam satu kenyataan melalui X berkata, pihaknya telah memberi jaminan kepada Netanyahu yang dihubungi menerusi telefon, bahawa pelaku terbabit akan dikenal pasti dan didakwa.

Polis tempatan memaklumkan setakat ini, 57 suspek ditahan selepas perlawanan itu ketika penunjuk perasaan pro-Palestin dikatakan cuba menuju ke Stadium Johan Cruyff walaupun demonstrasi dilarang diadakan di bandar itu.

Menurut polis, peminat bola sepak meninggalkan stadium itu tanpa berlaku sebarang insiden tetapi pertempuran meletus semalaman di pusat bandar. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini