comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] Pemimpin dunia kecam pembunuhan Haniyeh, Hamas ikrar balas dendam

TEHRAN: Pergerakan Hamas berkabung atas kematian pemimpin politiknya, Ismail Haniyeh, yang terbunuh dalam serangan Israel di Iran dan menegaskan dalang di sebalik serangan itu akan menerima akibatnya.

Anggota biro politik Hamas, Musa Abu Marzuk, berikrar kumpulan itu akan membalas. “Pembunuhan pemimpin Haniyeh adalah tindakan pengecut dan sudah pasti akan kami jawab,” katanya.

Penduduk Palestin melintasi kedai yang ditutup semasa mogok umum selepas pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Iran, di Tubas di Tebing Barat yang diduduki Israel. – FOTO: Reuters

Media Iran berkata, serangan udara mengorbankan Haniyeh berlaku sekitar jam 2 pagi (2230 GMT), menyasarkan ‘kediaman khas untuk veteran perang di utara Tehran’, tempat di mana beliau tinggal.

Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) juga mengumumkan kematian itu, mengatakan kediaman Haniyeh di Tehran ‘terkena serangan’ dan beliau terbunuh bersama seorang pengawal peribadi.

“Kediaman Haniyeh terkena serangan dan akibat kejadian ini, beliau dan salah seorang pengawal peribadinya syahid,” kata satu kenyataan di laman berita IRGC, Sepah.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, berjanji akan membuat ‘penyerang menyesali tindakan pengecut mereka’ membunuh pemimpin Hamas.

“Iran akan mempertahankan integriti wilayah, maruah, kehormatan, dan kebanggaannya, bagi memastikan penjenayah menyesali tindakan pengecut mereka,” katanya.

Russia dan Turkiye antara negara pertama mengecam tindakan pembunuhan Haniyeh, yang juga antara pemimpin utama Hamas.

Timbalan Menteri Luar Russia, Mikhail Bogdanov, menyifatkan pembunuhan itu sebagai perbuatan yang tidak boleh diterima.

“Ia adalah pembunuhan politik yang sama sekali tidak boleh diterima dan ini akan membawa kepada peningkatan ketegangan seterusnya,” katanya menerusi stesen berita RIA Novosti yang dikendalikan kerajaan.

Kementerian Luar Turkiye, dalam kenyataan pula menyifatkan pembunuhan itu satu serangan yang memalukan.

“Kami mengutuk pembunuhan pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh, dalam pembunuhan yang memalukan di Tehran. Serangan ini juga bertujuan meluaskan perang Gaza ke wilayah serantaunya,” katanya.

Terdahulu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, juga mengutuk pembunuhan Haniyeh dan menyifatkannya sebagai tindakan pengecut.

“Presiden Mahmoud Abbas mengutuk keras pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh dan menganggapnya sebagai tindakan pengecut dan keganasan yang serius,” menurut pejabatnya dalam satu kenyataan.

Mahmoud juga menggesa rakyat dan pasukannya untuk bersatu, bersabar dan berdiri teguh menentang pendudukan Israel.

Sementara itu, Ahli Majlis Politik Tinggi Houthi, Mohammed Ali al-Houthi berkata, serangan menyasarkan Haniyeh adalah jenayah keganasan yang keji dan pelanggaran undang-undang serta nilai kemanusiaan secara terang-terangan.

China juga mengutuk pembunuhan Haniyeh di Tehran dan memberi amaran ia boleh membawa kepada ‘ketidakstabilan selanjutnya dalam keadaan serantau’.

“Kami sangat prihatin dengan serangan ini itu dan menentang serta mengutuk pembunuhan itu sama sekali,” kata jurucakap Kementerian Luar, Lin Jian. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini